Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hasrat Trump pulihkan hubungan Saudi-Israel masih jauh jadi kenyataan

Tanda-tanda awal tampak Riyadh tidak bersedia bertolak ansur dalam pembentukan negara Palestin berdaulat
Nov 17, 2025 | 5:30 AM
Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman (MBS) (kanan) dari Arab Saudi menyematkan Kalung Abdulaziz Al Saud – anugerah kehormat tertinggi kerajaan itu – kepada Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, semasa upacara di Istana Diraja Riyadh pada 20 Mei 2017, sebagai simbol penghargaan terhadap usaha memperkukuh hubungan keselamatan dan ekonomi antara kedua-dua negara.
Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman (MBS) (kanan) dari Arab Saudi menyematkan Kalung Abdulaziz Al Saud – anugerah kehormat tertinggi kerajaan itu – kepada Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, semasa upacara di Istana Diraja Riyadh pada 20 Mei 2017, sebagai simbol penghargaan terhadap usaha memperkukuh hubungan keselamatan dan ekonomi antara kedua-dua negara. - Foto fail AFP

RIYADH: Harapan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, untuk melihat Arab Saudi memulihkan hubungan diplomatik dengan Israel dilaporkan masih jauh daripada menjadi kenyataan.

Ini walaupun beliau terus menggembar-gemburkan potensi bersejarah tersebut menjelang lawatan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman (MBS) ke Rumah Putih pada 18 November 2025.

Sekiranya langkah itu berjaya, ia bakal menggoncang landskap politik dan keselamatan Asia Barat, mengukuhkan pengaruh Amerika dan membuka bab baru dalam diplomasi Timur Tengah.

Namun, tanda-tanda awal menunjukkan Riyadh tidak bersedia bertolak ansur terhadap isu utama – pembentukan negara Palestin yang berdaulat.

Menurut dua sumber Teluk yang dipetik agensi berita, Reuters, Arab Saudi telah memaklumkan kepada Washington melalui saluran diplomatik bahawa pendiriannya tidak berubah: Pemulihan hanya akan berlaku jika terdapat pelan jelas dan boleh dipercayai ke arah penubuhan negara Palestin.

“Tujuan utama adalah untuk mengelakkan kekeliruan diplomatik dan memastikan keselarasan antara Washington dengan Riyadh sebelum sebarang kenyataan dibuat secara terbuka,” kata seorang pegawai yang terlibat dalam rundingan tersebut.

Langkah berhati-hati itu menunjukkan Riyadh ingin mengelak sebarang “salah langkah politik” yang boleh menjejas imejnya sebagai penjaga dua kota suci Islam, Makkah dan Madinah.

Penganalisis dasar luar, Encik Jonathan Panikoff, yang juga mantan Timbalan Pegawai Perisikan Kebangsaan Amerika untuk Timur Tengah, menegaskan bahawa Putera Mahkota tidak akan bersetuju memulihkan hubungan dengan Israel tanpa laluan kredibel ke arah pembentukan negara Palestin.

“MBS akan menggunakan pengaruhnya terhadap Trump untuk mendapatkan komitmen lebih jelas dan lantang mengenai penubuhan negara Palestin yang berdaulat,” kata Encik Panikoff yang kini berkhidmat di Atlantic Council, Washington.

Walaupun Encik Trump optimis, pakar menilai perjanjian pemulihan antara Israel dengan Arab Saudi “hampir mustahil” menjelang akhir 2025 ini kecuali berlaku “perubahan luar biasa” dalam pendirian pemerintah Israel.

Menurut Encik Ali Shihabi, penganalisis politik yang rapat dengan kepimpinan Riyadh, MBS menegaskan Israel perlu mengambil langkah besar dan tidak boleh dibatal atau berpatah balik ke arah pembentukan negara Palestin sebelum sebarang pemulihan boleh berlaku.

“Perjanjian pemulihan adalah satu-satunya kad pengaruh terakhir yang tinggal kepada Arab Saudi untuk membantu menyelesaikan konflik Israel-Palestin secara menyeluruh,” katanya kepada The New York Times.

“Kerajaan ingin menggunakan kad itu untuk mencapai kestabilan serantau yang selama ini sukar dicapai.”

Sikap itu selaras dengan pendirian lama Riyadh yang berpandukan Inisiatif Damai Arab 2002, yang mensyaratkan penubuhan negara Palestin sebagai prasyarat kepada sebarang hubungan rasmi dengan Israel.

Lawatan MBS ke Amerika pertengahan November ini merupakan kunjungan pertamanya ke Washington sejak pembunuhan wartawan, Jamal Khashoggi, pada 2018, yang mencetuskan kemarahan antarabangsa.

Walaupun kontroversi itu masih menghantui imejnya, MBS kini muncul sebagai aktor strategik yang ingin meneguhkan kedudukan geopolitik Arab Saudi.

Dalam lawatan kali ini, beliau dijangka memberi tumpuan kepada tiga agenda utama:

– Menandatangani perjanjian pertahanan bersama Amerika, mirip perjanjian keselamatan Washington-Qatar, yang menetapkan bahawa serangan ke atas Riyadh dianggap ancaman terhadap kepentingan Amerika.

– Mendapatkan jet pejuang F-35 pesawat tempur paling canggih buatan Amerika untuk Angkatan Tentera Diraja Saudi.

– Merundingkan perjanjian nuklear sivil yang membolehkan Arab Saudi membangunkan teknologi tenaga nuklear dengan sokongan Amerika.

“Perjanjian pertahanan ini tidak mencapai taraf perjanjian rasmi yang diratifikasi Kongres, tetapi ia langkah penting menuju perlindungan keselamatan yang lebih kukuh,” kata pakar hubungan Arab-Israel dari Institut Washington, Encik David Makovsky.

Hubungan antara tiga isu – perjanjian pertahanan, pemulihan dengan Israel dan pembentukan negara Palestin – mencipta satu persamaan diplomatik yang amat rumit.

Menurut sumber Teluk, Riyadh dan Washington kini bersedia menandatangani perjanjian pertahanan berskala sederhana sementara menunggu perkembangan pada dua isu lain.

Perjanjian itu dijangka merangkumi kerjasama teknologi, latihan ketenteraan dan pemindahan senjata canggih.

“Ia bukan perjanjian yang sempurna, tetapi menjadi batu loncatan ke arah perjanjian penuh,” tambah Encik Makovsky.

Ketegangan di Gaza sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 telah mengubah sepenuhnya dinamik diplomasi serantau.

Menurut Ketua Institut Kajian Teluk, Dr Abdelaziz al-Sagher, hubungan Saudi-Amerika kini ditakrif semula oleh keperluan keselamatan negara, bukan semata-mata oleh isu Palestin.

“Kedudukan Arab Saudi jelas memenuhi tuntutan keselamatan nasional akan menentukan sikapnya terhadap isu serantau termasuk penyelesaian konflik Israel-Palestin,” katanya.

Walaupun begitu, Riyadh tetap menegaskan penyelesaian dua negara mesti menjadi asas kepada kestabilan jangka panjang di Timur Tengah.

Pendorong utama keinginan Riyadh terhadap jaminan keselamatan Amerika ialah ancaman Iran, namun dalam setahun kebelakangan ini, kekuatan strategik Teheran dilihat kian lemah akibat serangan Israel terhadap prasarana nuklear dan ketenteraan Iran.

Tambahan pula, tekanan terhadap sekutu Iran seperti Hezbollah di Lebanon; Hamas di Gaza; dan Houthi di Yaman; menjadikan ancaman Teheran semakin berkurangan.

Ini menyebabkan selera Arab Saudi terhadap perjanjian pertahanan bersifat “gaya Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato)” juga berkurang.

Bagaimanapun, Washington dikatakan ingin mengikat Riyadh dengan syarat baru, termasuk sekatan terhadap kerjasama ekonomi dan teknologi Saudi dengan China.

“Perjanjian keselamatan ini bukan hanya tentang pertahanan, bahkan juga tentang mengekang pengaruh Beijing di Teluk,” kata seorang diplomat Barat yang terlibat dalam rundingan tersebut.

Bagi Encik Trump, kejayaan pemulihan hubungan Saudi-Israel akan menjadi “kejayaan diplomatik terbesar penggal kedua pemerintahannya”.

Dalam wawancara bersama Time Magazine pada Oktober, beliau mendakwa “sudah hampir” mencapai perjanjian tersebut, sambil meramalkan ia akan berlaku sebelum hujung 2025.

“Ia tidak mungkin dilakukan semasa perang,” katanya merujuk kepada konflik Gaza.

“Sekarang dengan gencatan senjata yang rapuh, saya percaya ia akan menjadi kenyataan.”

Namun, pemerhati serantau berpandangan sebaliknya.

Pengarah Projek Teluk di Kumpulan Krisis Antarabangsa, Cik Yasmine Farouk, menegaskan pemulihan tidak akan berlaku dalam masa terdekat.

“Arab Saudi telah berulang kali menegaskan bahawa penubuhan negara Palestin mesti menjadi sebahagian daripada sebarang perjanjian,” katanya.

“Tetapi selagi hubungan baik dengan Israel masih menjadi modal politik untuk mendapatkan sokongan Washington, pemulihan akan sentiasa kekal di atas meja rundingan – cuma bukan sekarang.”

Usaha Encik Trump untuk menghidupkan semula Perjanjian Abraham dengan menambah Arab Saudi sebagai anggota terkini sememangnya mencerminkan keinginan Amerika mengekalkan pengaruhnya di Timur Tengah.

Namun, realiti politik dan sentimen awam Arab terhadap Israel menjadikan kejayaan itu semakin mustahil dalam jangka masa terdekat.

Pemulihan Israel-Saudi bukan sekadar soal diplomasi ia menyentuh akar identiti Islam, maruah Palestin, dan keseimbangan kuasa serantau.

Selagi Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menolak negara Palestin dan Washington enggan memberi jaminan politik yang nyata, impian Encik Trump untuk melihat “kedamaian Timur Tengah” akan kekal sebagai retorik, bukan realiti.

“Arab Saudi tidak menolak pemulihan,” simpul Encik Farouk, “tetapi mereka tidak akan mengorbankan prinsip Palestin demi kemenangan politik jangka pendek Amerika”. – Agensi berita.

Dengan kata lain, antara aspirasi Encik Trump dengan realiti Riyadh, jarak menuju perjanjian sejarah itu masih panjang dan berliku. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg