SEOUL: Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, bersedia menerima keputusan Mahkamah Perlembagaan mengenai kes pemecatannya, termasuk jika keputusan itu menyingkirkan beliau daripada jawatan, menurut peguamnya.
“Jika keputusannya adalah ‘penyingkiran’, ia tidak boleh tidak diterima,” kata Encik Yoon Kab-keun, peguam kepada Presiden Yoon, dalam sidang media ketika ditanya sama ada presiden akan mematuhi apa sahaja keputusan perbicaraan.
Presiden Yoon sebelum ini enggan mematuhi permintaan mahkamah untuk mengemukakan dokumen perundangan sebelum perbicaraan bermula pada 27 Disember. Namun, menurut peguamnya, beliau bersedia hadir secara peribadi untuk mempertahankan kesnya.
Presiden Yoon turut terlibat dalam siasatan jenayah berasingan atas dakwaan mengetuai pemberontakan melalui usaha melaksanakan undang-undang tentera pada 3 Disember lalu. Walaupun menghadapi beberapa panggilan mahkamah, beliau terus menolak untuk hadir.
Encik Kab-keun menjelaskan bahawa Presiden Yoon kini berada di kediaman rasminya dan kelihatan sihat, sekali gus menepis spekulasi mengenai keberadaannya.
“Presiden kekal dalam keadaan baik dan memantau situasi dengan tenang,” tambah beliau.
Cubaan awal untuk menangkap Presiden Yoon pada 3 Januari gagal selepas pengawal keselamatan presiden menentang tindakan tersebut. Namun, seorang penyiasat kanan berikrar untuk mengambil segala langkah perlu bagi menembusi sekatan keselamatan dan menangkap pemimpin yang sedang menghadapi tekanan itu.
Peguam lain yang mewakili Presiden Yoon, Encik Seok Dong-hyeon, menyatakan bahawa usaha untuk menangkap presiden adalah bermotifkan politik dan bertujuan memalukan beliau di khalayak ramai.
“Presiden melihat usaha ini sebagai serangan politik yang dirancang untuk merendahkan martabatnya dengan menggari beliau di hadapan umum,” kata Encik Seok.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg