SEOUL: Sebuah kenderaan yang membawa Presiden Korea Selatan, Encik Yoon Suk Yeol, tiba pada 20 Februari di Mahkamah Daerah Pusat Seoul bagi menghadiri perbicaraan pertama kes jenayahnya atas tuduhan melakukan pemberontakan.
Rakaman televisyen yang disiarkan penyiar tempatan menunjukkan kenderaan Kementerian Kehakiman dilihat meninggalkan pusat tahanan sebelum tiba di mahkamah yang ditingkatkan kawalan keselamatan.
Mahkamah juga akan mengadakan perbicaraan untuk meneliti kesahihan penahanan Encik Yoon seperti yang diminta oleh peguamnya pada awal Februari.
Pendakwa raya pada Januari mendakwa Encik Yoon selepas menuduhnya mengetuai pemberontakan dengan cuba melaksanakan undang-undang tentera pada 3 Disember 2024.
Percubaan itu hanya berlangsung enam jam sebelum Parlimen pimpinan pembangkang mengundi menentang dekrinya.
Tuduhan sebegitu tidak pernah dikenakan sebelum ini ke atas Presiden Korea Selatan yang sedang memegang jawatan.
Jika sabit kesalahan, Encik Yoon boleh berdepan hukuman penjara selama bertahun-tahun atas dekri undang-undang tentera yang cuba dilaksanakannya secara mengejut, mengharamkan kegiatan politik dan Parlimen serta mengawal media.
Tindakannya mencetuskan gelombang pergolakan politik dalam ekonomi keempat terbesar di Asia dan sekutu utama Amerika Syarikat itu.
Perdana Menteri negara itu turut dicabar dan digantung daripada kuasa serta beberapa pegawai tinggi tentera yang didakwa atas peranan mereka dalam dakwaan pemberontakan itu.
Encik Yoon juga sedang menghadapi perbicaraan di Mahkamah Perlembagaan yang telah memasuki fasa terakhir.
Dalam kesnya itu, Mahkamah akan mendengar keterangan daripada saksi termasuk Perdana Menteri, Encik Han Duck-soo, pada 20 Februari, walaupun tidak jelas sama ada Encik Yoon akan turut menghadiri perbicaraan tersebut.
Mahkamah Perlembagaan, yang telah mendengar kes pemecatan Encik Yoon pada 14 Disember, akan memutuskan sama ada untuk memecatnya secara kekal atau mengembalikan jawatannya.
Tidak segera diketahui bila keputusan itu akan dibuat.
Encik Yoon dan peguamnya telah berhujah dalam perbicaraan sebelum ini bahawa beliau tidak pernah berhasrat untuk melaksanakan undang-undang tentera sepenuhnya tetapi hanya bertujuan sebagai amaran untuk merungkai kebuntuan politik.
Jika Encik Yoon disingkirkan, pilihan raya presiden baru mesti diadakan dalam masa 60 hari. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg