SEOUL: Presiden Korea Selatan, Encik Yoon Suk Yeol, telah menyelar lawan politiknya sebagai “pasukan antinegara”, dan mempertahankan perintah undang-undang tenteranya yang singkat sebagai langkah untuk melindungi demokrasi.
Beliau juga berkata Korea Utara telah menggodam pilihan raya negara itu.
Komennya pada 12 Disember dibuat ketika ketua parti Encik Yoon sendiri berkata bahawa Presiden tidak menunjukkan tanda-tanda untuk meletak jawatan dan mesti dicabar.
Beliau berdepan undian pemecatan kedua di Parlimen yang dijangka diadakan pada 14 Disember, seminggu selepas undi pertama gagal kerana kebanyakan parti pemerintah memboikot undi.
“Saya akan berjuang habis-habisan,” katanya menjelang akhir ucapan panjang yang disiarkan menerusi televisyen.
Encik Yoon dikenakan siasatan jenayah atas dakwaan pemberontakan berhubung pengisytiharan undang-undang tentera yang gagal sehingga mencetuskan krisis politik terbesar di Korea Selatan dalam beberapa dekad.
Ahli politik menerobos pagar polis, sesetengahnya memanjat pagar, untuk memasuki bangunan Parlimen dan menuntut Encik Yoon agar membatalkan pengisytiharan undang-undang tenteranya.
Dalam komen bagi mempertahankan keputusannya mengisytiharkan peraturan darurat menerusi undang-undang tentera, beliau berkata perbuatan “kumpulan penjenayah” yang telah melumpuhkan hal ehwal negara dan mengganggu kedaulatan undang-undang mesti dihentikan dengan apa cara sekalipun daripada mengambil alih teraju pemerintahan.
Encik Yoon mendakwa bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan negara itu telah digodam oleh Korea Utara pada 2023 tetapi agensi bebas itu enggan bekerjasama dalam siasatan dan pemeriksaan sistemnya untuk menjaga integriti.
Menurut beliau, keengganan suruhanjaya itu sudah cukup untuk menimbulkan persoalan mengenai kewibawaan pilihan raya pada April 2024, antara faktor yang mendorongnya mengisytiharkan undang-undang tentera.
Parti Kuasa Rakyat (PPP) pimpinan Encik Yoon mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya pada April, membuka pintu kepada Parti Demokrat menguasai Dewan Negara.
Walaupun begitu, parti pembangkang masih memerlukan lapan anggota PPP untuk mengundi bersama mereka bagi mencabar Presiden.
Sejurus sebelum ucapan Encik Yoon di televisyen, pemimpin PPP, Encik Han Dong-hoon, berkata Presiden perlu dilucutkan kuasanya dan satu-satunya caranya ialah dengan parti itu menyokong rang undang-undang pemecatannya. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg