SEOUL: Presiden Korea Selatan, Encik Yoon Suk Yeol, kini berhadapan dengan percubaan tangkapan baru yang lebih kukuh atas dakwaan pemberontakan.
Selepas mahkamah mengeluarkan waran tangkap baru itu pada 7 Januari, ketegangan terus meningkat di sekitar kediaman presiden.
Encik Yoon kini berdepan proses pendakwaan, susulan tindakan beliau menguatkuasakan undang-undang tentera yang hanya bertahan untuk tempoh singkat, lapor agensi berita Yonhap.
Menurut pegawai, Mahkamah Daerah Barat Seoul meluluskan pelanjutan itu pada 7 Januari susulan permohonan penyiasat dari Pejabat Siasatan Rasuah untuk Pegawai Peringkat Tinggi (CIO) setelah waran asal tamat pada Isnin lalu.
Penyokong dan penentang Encik Yoon tetap berkumpul di jalan-jalan sekitar kompleks presiden, walaupun dalam keadaan suhu sejuk pada 8 Januari.
Kompleks itu telah dipertingkat dengan kawat berduri, sekatan serta bas sebagai pengadang, dipercayai untuk melindungi presiden yang enggan hadir ke mahkamah bagi menjawab pertuduhan.
Encik Yoon sedang disiasat susulan pengisyiharan undang-undang tentera pada 3 Disember, yang mengejutkan negara dan mencetuskan krisis politik.
Ketua CIO, Encik Oh Dong-woon, meminta maaf atas kegagalan percubaan tangkapan pertama pada 3 Januari selepas kebuntuan selama enam jam di dalam kompleks presiden.
“Kali ini, kami akan bersiap sedia sepenuhnya dengan azam bahawa waran kedua ini akan menjadi yang terakhir,” kata Encik Oh semasa mesyuarat jawatankuasa Parlimen.
Namun, beliau tidak menjelaskan berapa lama waran baru itu akan bertahan.
Pelbagai senario kini sedang dipertimbangkan, termasuk penggunaan pasukan taktikal khas polis dan peralatan berat untuk menembusi sekatan.
Lebih 2,000 anggota polis dijangka terlibat dalam usaha tersebut, yang mungkin mengambil masa sehingga tiga hari untuk melemahkan pasukan keselamatan presiden.
Pada percubaan tangkapan pertama, CIO dan polis gagal menembusi kawalan lebih 200 anggota Pasukan Keselamatan Presiden (PSS) yang bersenjata dan disokong oleh tentera.
Pertembungan kecil dilaporkan berlaku antara kedua-dua pihak.
Bantahan yang berlangsung di Hannam-dong, kawasan kediaman presiden di Yongsan-gu, telah menimbulkan ketidakpuasan penduduk dan pekerja tempatan.
Jalan raya utama seperti Hannam-ro mengalami kesesakan teruk, menyebabkan gangguan kepada pengguna jalan raya.
“Kami merancang untuk bekerjasama dengan pihak polis bagi mengurangkan ketidakselesaan awam dan memastikan kelancaran lalu lintas,” kata jurucakap Metropolitan Seoul dalam satu kenyataan.
Langkah yang dicadangkan termasuk pengalihan bas bandar, pemberhentian tren di stesen tertentu dan maklumat lalu lintas masa nyata.
Seorang pekerja syarikat elektronik, Encik Lee Sang-hun, meluahkan rasa tidak puas hati terhadap gangguan trafik akibat bantahan.
“Setiap hari perjalanan saya ke tempat kerja semakin sukar. Saya berharap pihak berkuasa segera mengambil tindakan untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg