Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden Laos dijangka hadiri ulang tahun Parti Pekerja Korea Utara

Oct 2, 2025 | 3:47 PM
Presiden Laos, Thongloun Sisoulith, menghadiri upacara meletakkan kalungan bunga di Makam Pahlawan Tidak Dikenali berhampiran tembok Kremlin di Moscow, Rusia, 31 Julai 2025.
Presiden Laos, Thongloun Sisoulith, menghadiri upacara meletakkan kalungan bunga di Makam Pahlawan Tidak Dikenali berhampiran tembok Kremlin di Moscow, Rusia, 31 Julai 2025. - Foto REUTERS

PYONGYANG: Presiden Laos, Thongloun Sisoulith, akan melawat Korea Utara pada 10 Oktober ini bagi menyertai sambutan ulang tahun ke-80 penubuhan Parti Pekerja Korea, menurut agensi berita rasmi KCNA pada 2 Oktober.

Lawatan itu dibuat atas jemputan pemimpin Korea Utara, Encik Kim Jong Un, dan dianggap luar biasa kerana Pyongyang jarang menerima kunjungan pemimpin asing sejak negara itu memperketat sekatan masuk akibat program nuklear dan peluru berpandu balistiknya.

KCNA menyebut Encik Thongloun sebagai tetamu asing pertama yang disahkan bakal menghadiri perayaan tersebut. Kehadiran beliau dilihat sebagai langkah diplomatik penting yang menunjukkan hubungan erat Laos dengan Korea Utara. “Lawatan ini adalah simbol persahabatan tradisional antara kedua-dua negara dan sokongan Laos terhadap rakan lamanya,” lapor media rasmi Korea Utara itu.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Rusia, Dmitry Medvedev, juga dilaporkan dijangka hadir bagi meraikan ulang tahun bersejarah tersebut.

Reuters sebelum ini melaporkan Ketua Parti Komunis Vietnam, To Lam, turut dirancang melawat Pyongyang pada Oktober, yang bakal menjadi kunjungan pertama pemimpin tertinggi Vietnam ke Korea Utara dalam hampir dua dekad. Bagaimanapun, lawatan itu masih belum disahkan secara rasmi oleh Hanoi mahupun Pyongyang.

Menurut laporan agensi berita Yonhap dari Korea Selatan, pihak tentera Seoul mengesan tanda-tanda Korea Utara bersiap untuk mengadakan perarakan ketenteraan berskala besar sempena ulang tahun parti. Perarakan itu dijangka melibatkan puluhan ribu anggota tentera dan berkemungkinan diadakan pada waktu malam.

Seorang pegawai kanan Korea Selatan memberitahu Yonhap bahawa perarakan ketenteraan itu berpotensi mempamerkan peluru berpandu baharu atau aset strategik lain. “Kami sedang memantau rapat pergerakan tentera Korea Utara,” katanya.

Kunjungan pemimpin Laos ini dilihat sebagai usaha Korea Utara meningkatkan hubungan diplomatik ketika negara itu berdepan tekanan antarabangsa yang semakin hebat. “Kehadiran pemimpin asing akan memberikan mesej bahawa Pyongyang masih mempunyai sekutu dan sokongan di rantau Asia,” ujar seorang penganalisis serantau yang dipetik media Korea Selatan.

Perayaan ulang tahun Parti Pekerja Korea lazimnya menjadi platform bagi Pyongyang menunjukkan kekuatan politik dan ketenteraan, selain memperkukuh imej Kim Jong Un di mata rakyat dan sekutunya. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg