BEIJING: Presiden China, Encik Xi Jinping, memberi amaran bahawa dunia kini berdepan pilihan antara keamanan atau perang sedang beliau merasmikan perarakan tentera terbesar negaranya, diapit Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, dan pemimpin Korea Utara, Encik Kim Jong Un.
Perarakan di Dataran Tiananmen itu, sebagai menandakan 80 tahun kekalahan Jepun pada penghujung Perang Dunia Kedua, tidak dihadiri ramai pemimpin Barat, sedang Encik Putin dan Encik Kim adalah tetamu kehormat upacara penuh gah itu.
Timbalan Perdana Menteri Encik Gan Kim Yong juga merupakan antara tetamu di acara tersebut.
Encik Gan yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, berada di sana sejak 31 Ogos hingga 4 September bagi satu lawatan kerja ke China termasuk ke Guangzhou, Shenzhen dan Beijing.
Ini merupakan lawatan kali pertama Encik Gan ke China sejak memegang jawatan barunya itu.
Bertujuan menonjolkan kekuatan ketenteraan dan pengaruh diplomatik China, perarakan itu juga dibuat ketika berlakunya kemelut tarif dagangan dengan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dan penggubalan dasar tidak menentu yang menjejas hubungannya dengan sekutu dan pesaing.
“Proses pemodenan negara China tidak dapat dihalang serta tujuan keamanan dan pembangunan manusia akan diutamakan,” katanya dalam ucapan yang disiarkan di televisyen.
“Hari ini, manusia sekali lagi berdepan dengan pilihan damai atau perang, dialog atau konfrontasi, dan hasil saling memenangi atau permainan sifar,” kata Encik Xi kepada lebih 50,000 penonton, sambil menambah bahawa rakyat China “berdiri teguh di pihak yang benar dalam sejarah”.
Menaiki limusin dengan bumbung terbuka, Encik Xi kemudian memeriksa perbarisan tentera dan peralatan ketenteraan canggih seperti peluru berpandu, kereta kebal dan dron yang membarisi jalan berhampiran dataran tersebut.
Helikopter yang mengibarkan sepanduk besar terbang dalam bentukan semasa upacara selama 70 minit yang penuh dengan simbolisme dan propaganda, yang memuncak dengan pelepasan 80,000 burung merpati simbol keamanan dan belon berwarna-warni.
Memakai sut mengikut gaya yang dipakai bekas pemimpin China Mao Zedong, Encik Xi sebelum itu menyambut kira-kira dua dozen pemimpin termasuk Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Malaysia dan Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto.
Isteri Encik Xi, Cik Peng Liyuan, kedengaran berkata “selamat bertemu dengan anda” dan “selamat datang ke China” dalam bahasa Inggeris.
Duduk di antara Encik Putin dan Encik Kim, Encik Xi berulang kali memulakan perbualan dengan kedua-dua pemimpin di galeri tontonan ketika tentera dan peralatan berarak di hadapan mereka.
Sementara itu, menulis dalam laman Truth Socialnya ketika perarakan itu bermula, Encik Trump berkata:
“Sila sampaikan salam hormat saya kepada Vladimir Putin, dan Kim Jong Un, semasa anda bersekongkol menentang Amerika Syarikat.”
Beliau sebelum ini memberitahu pemberita bahawa beliau tidak melihat perarakan itu sebagai cabaran kepada Amerika dan mengulangi “hubungannya yang sangat baik” dengan Encik Xi.
Jurucakap tertinggi pemerintah Jepun enggan mengulas mengenai perarakan pada 3 September itu, sambil menambah dua ekonomi teratas Asia sedang membina hubungan yang membina.
Encik Xi telah meletakkan Perang Dunia Kedua sebagai titik perubahan utama dalam “pemodenan besar negara China,” yang mana ia mengatasi pencerobohan Jepun semasa perang itu dan kemudian menjadi kuasa ekonomi.
Awal minggu ini, Encik Xi mendedahkan visinya tentang aturan global baru pada sidang kemuncak keselamatan serantau, dan menyeru perpaduan menentang “hegemonisme dan politik kuasa”, satu sindiran terhadap Amerika dan tarif meluas Encik Trump.
Penganalisis sedang memerhati sama ada Beijing, Moscow dan Pyongyang mungkin memberi isyarat hubungan pertahanan yang lebih erat, berikutan perjanjian yang ditandatangani Russia dan Korea Utara pada Jun 2024, dan pakatan serupa antara Beijing dengan Pyongyang, yang hasilnya mungkin mengubah kuasa ketenteraan di rantau Asia-Pasifik.
Encik Putin telah menggunakan kesempatan pertemuan kali ini untuk memeterai perjanjian tenaga yang lebih mendalam dengan China, sementara perhimpunan itu menawarkan Encik Kim peluang mendapatkan sokongan tidak langsung berkaitan senjata nuklearnya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg