Presiden Mexico jamin ‘tiada risiko’ tonton Piala Dunia di tengah keganasan kartel dadah
Presiden Mexico jamin ‘tiada risiko’ tonton Piala Dunia di tengah keganasan kartel dadah
BANDAR MEXICO: Presiden Mexico Claudia Sheinbaum berkata pada 24 Februari bahawa “tiada risiko” untuk peminat datang ke negaranya untuk menyeksikan Piala Dunia 2026, selepas keganasan meletus berikutan penangkapan dan kematian ketua kartel paling dikehendaki di Mexico, terutamanya di negeri Jalisco.
Cik Sheinbaum berkata “semua jaminan” untuk keselamatan telah disediakan untuk kejohanan bola sepak antarabangsa terkemuka itu, yang dijangka menarik ramai peminat daripada seluruh dunia ke perlawanan di Bandar Mexico, Monterrey dan ibu kota Jalisco, Guadalajara.
Beliau berkata semasa sidang akhbar bahawa keadaan kini semakin normal, dengan pasukan keselamatan berusaha untuk melindungi orang ramai, selepas penyokong setia ketua kartel Nemesio Oseguera mengadakan sekatan jalan raya dan membakar bas serta kedai di seluruh negara sebagai tindak balas atas pembunuhannya dalam serbuan tentera pada 22 Februari.
Presiden Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), Encik Gianni Infantino, memberitahu pemberita pada 24 Februari bahawa beliau berasa “sangat tenang” tentang Mexico yang akan menganjurkan kejohanan musim panas ini.
“Semuanya akan menjadi hebat,” katanya.
Seorang jurucakap FIFA berkata organisasi itu sedang memantau keadaan dengan teliti dan berhubung rapat dengan pihak berkuasa.
“Kami akan terus mengikuti tindakan dan arahan daripada pelbagai agensi pemerintah untuk mengekalkan keselamatan awam dan memulihkan keadaan normal, dan kami mengulangi kerjasama rapat kami dengan pihak berkuasa persekutuan, negeri dan tempatan,” kata jurucakap itu.
Gabenor Jalisco Encik Pablo Lemus mengesahkan semula penyertaan negerinya dalam kejohanan itu dan mengesahkan beberapa acara akan datang di rantau ini.
“FIFA langsung tidak berniat untuk mengeluarkan mana-mana tempat perlawanan daripada Mexico. Ketiga-tiga tempat tersebut kekal kukuh,” kata Encik Lemus.
Mexico bakal menganjurkan 13 daripada 104 perlawanan Piala Dunia. Empat daripadanya akan diadakan di Guadalajara.
Ia juga akan menganjurkan beberapa perlawanan pemanasan awal sebelum kejohanan dibuka pada 11 Jun.
Liga-liga tempatan Mexico menangguhkan beberapa perlawanan pada 22 Februari - hari anggota kartel melancarkan beberapa siri serangan ganas di seluruh negara selepas operasi untuk memberkas Oseguera, yang dikenali sebagai “El Mencho”.
Cik Sheinbaum sebahagian besarnya mengikuti jejak langkah pendahulunya Encik Andres Manuel Lopez Obrador, yang mengutamakan pengurangan kemiskinan dan keganasan dengan menggunakan slogan “pelukan bukan peluru”.
“Penahanan suspek penjenayah dengan waran tangkap boleh menyebabkan keadaan seperti ini, tetapi kami mencari keamanan, bukan peperangan,” katanya. - Reuters

