PARIS: Penganjur Piala Dunia semalam mengumumkan kategori tiket lebih murah susulan kritikan berterusan terhadap harga tiket pusingan akhir 2026 di Amerika Syarikat, Canada dan Mexico.
Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), badan induk bola sepak dunia, dalam satu kenyataan memaklumkan ia mewujudkan “tiket tahap kemasukan penyokong” berharga AS$60 ($77) setiap satu dan ditawarkan bagi semua 104 perlawanan termasuk final.
Menurut Fifa, pelan itu “direka bagi menyokong peminat yang mengembara mengikuti pasukan kebangsaan mereka sepanjang kejohanan”.
Fifa berkata tiket berharga AS$60 itu dikhaskan kepada penyokong pasukan yang layak dan membentuk 10 peratus daripada kuota setiap persekutuan kebangsaan.
Bagaimanapun, kumpulan penyokong Football Supporters Europe (FSE), yang minggu lalu melabel harga tiket sebagai “melampau” dan “astronomikal”, menganggap langkah Fifa itu masih tidak mencukupi.
“Walaupun kami mengalu-alukan pengiktirafan Fifa terhadap kerosakan yang disebabkan pelan asalnya, semakan ini masih belum memadai,” kata FSE dalam satu kenyataan pada 16 Disember.
Minggu lalu, FSE mendedahkan harga tiket hampir lima kali ganda lebih mahal berbanding Piala Dunia 2022 di Qatar.
“Jika seorang penyokong mengikuti pasukannya dari perlawanan pertama hingga ke final, kos minimum yang perlu ditanggung ialah AS$6,900,” katanya ketika itu, sambil menambah penganjur sebelum ini menjanjikan tiket bermula AS$21 dalam dokumen bidaan yang dikeluarkan pada 2018.
FSE berkata pada 16 Disember Fifa bertindak balas terhadap aduan yang diterima.
“Buat masa ini kami melihat pengumuman Fifa tidak lebih sekadar taktik meredakan kemarahan susulan reaksi negatif global,” kata FSE.
“Ini menunjukkan dasar penjualan tiket Fifa tidak muktamad, dibuat secara tergesa-gesa dan tanpa rundingan sewajarnya, termasuk dengan persatuan ahli Fifa sendiri.
“Berdasarkan peruntukan yang diumumkan, ini bermakna paling baik hanya beberapa ratus penyokong setiap perlawanan dan pasukan akan bernasib baik menikmati harga AS$60, manakala majoriti masih terpaksa membayar harga melampau, jauh lebih tinggi berbanding mana-mana kejohanan sebelum ini.”
Organisasi itu turut mengkritik kegagalan menyediakan peruntukan khusus kepada penyokong kurang upaya atau pengiring mereka.
Ketika mengumumkan tiket berharga AS$60 itu, Fifa memaklumkan persekutuan kebangsaan “diminta memastikan tiket ini diperuntukkan khusus kepada penyokong setia yang mempunyai hubungan rapat dengan pasukan kebangsaan masing-masing”.
Fifa turut menjelaskan penyokong yang membeli tiket perlawanan pusingan kalah mati tetapi pasukan mereka tersingkir lebih awal “akan dikecualikan daripada bayaran pentadbiran ketika proses bayaran balik”.
Ia menambah pengumuman itu dibuat “dalam situasi permintaan luar biasa di seluruh dunia” dengan 20 juta permohonan tiket sudah diterima.
Cabutan undi tiket bagi semua kategori harga dalam pusingan pertama jualan akan diadakan pada 13 Januari depan. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg