Topik diikuti
Pergi ke BHkuPresiden Myanmar tiba di Bangkok bincang penyertaan semula dalam Asean
Lawatan dilihat sebagai usaha tamatkan pengasingan diplomatik sejak rampasan kuasa tentera pada Feb
BANGKOK: Presiden Myanmar, Encik Min Aung Hlaing, tiba di Bangkok pada 6 Ogos bagi lawatan rasmi pertamanya ke Thailand sejak memegang jawatan sebagai ketua negara.
Ini ketika beliau giat mendapatkan semula pengiktirafan diplomatik daripada negara serantau dan mengembalikan Myanmar ke arus perdana Asean.
Lawatan itu dilihat sebagai usaha penting Naypyidaw untuk menamatkan pengasingan diplomatik yang dikenakan terhadap kepimpinan Myanmar sejak rampasan kuasa tentera pada Februari 2021 yang menggulingkan pemerintahan awam pimpinan Aung San Suu Kyi.
Rampasan kuasa itu mencetuskan perang saudara yang berlarutan sehingga kini dan dianggarkan meragut lebih 100,000 nyawa daripada semua pihak yang terbabit dalam konflik.
Encik Hlaing dilantik sebagai Presiden Myanmar pada April lalu selepas pilihan raya yang dikuasai parti disokong tentera.
Pilihan raya itu bagaimanapun tidak diiktiraf oleh banyak negara Barat dan kumpulan pemantau demokrasi, yang menyifatkannya sebagai tidak bebas serta bertujuan memberi pernyataan sah kepada pemerintahan tentera.
Sejak mengambil alih jawatan presiden dan meninggalkan imej sebagai pemimpin tentera, Encik Hlaing meningkatkan usaha diplomatik dengan mengadakan lawatan ke China, India dan Laos sebelum tiba di Thailand.
Di Bangkok, beliau diberikan sambutan rasmi dengan kawalan kehormat di Bangunan Kerajaan Thailand sebelum mengadakan pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul.
Sebuah kumpulan pancaragam tentera turut memainkan lagu kebangsaan kedua-dua negara ketika majlis sambutan rasmi berlangsung.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin dijangka menandatangani memorandum persefahaman (MOU) mengenai kerjasama tenaga kerja selain menghadiri forum perniagaan dan majlis makan malam rasmi.
Encik Hlaing berkata Myanmar akan terus berusaha menamatkan konflik dalaman dan memperkukuhkan hubungan dengan negara anggota Asean.
“Myanmar sedang berada di landasan demokrasi dan menuju masa depan yang lebih baik. Kami akan terus mengukuhkan hubungan persahabatan demi kepentingan rakyat serta meningkatkan hubungan dengan Asean,” katanya.
Thailand kini menjadi antara negara yang paling aktif menggalakkan pendekatan baru terhadap Myanmar dengan harapan Naypyidaw dapat kembali menyertai proses diplomatik Asean.
Sejak rampasan kuasa 2021, Asean menggantung penyertaan pemimpin Myanmar dalam sidang kemuncak blok itu kerana kegagalan pemerintah melaksanakan Konsensus Lima Perkara yang dipersetujui bagi menamatkan konflik melalui dialog.
Bagaimanapun, Menteri Luar Myanmar menghadiri mesyuarat tidak rasmi Asean di Bangkok Julai lalu, sekali gus dilihat sebagai petanda hubungan antara kedua-dua pihak mula bertambah baik.
Pakar Myanmar, Encik Morgan Michaels, berkata jika Myanmar diterima semula ke dalam proses penuh Asean, ia berpotensi membuka laluan kepada pemulihan hubungan dengan negara Barat yang selama ini menolak pemerintahan tentera.
Namun, beliau berkata Myanmar sebenarnya sudah memperoleh pengiktirafan daripada beberapa rakan strategik utama termasuk China, India, Russia dan Thailand.
“Pemulihan hubungan dengan Asean penting dari sudut politik, tetapi bukan lagi keperluan mendesak kerana Myanmar sudah mempunyai sokongan daripada beberapa negara utama,” katanya.
Penganalisis bebas Myanmar, Encik David Mathieson, pula berpendapat usaha Encik Hlaing untuk kembali ke Asean lebih bertujuan meningkatkan status politiknya.
“Ia lebih kepada soal imej dan pengiktirafan. Beliau mahu dilihat sebagai pemimpin yang sah dalam Asean walaupun pada masa sama terus menolak pelaksanaan Konsensus Lima Perkara,” katanya.
Menurut beliau, terdapat percanggahan apabila Naypyidaw mahu kembali diterima Asean tetapi masih enggan memenuhi syarat utama blok itu, termasuk menghentikan keganasan dan memulakan dialog dengan semua pihak yang bertelagah.
Sementara itu, beberapa pihak memberi amaran bahawa Thailand perlu berhati-hati agar usaha mendekati Myanmar tidak dilihat sebagai mengiktiraf sepenuhnya kepimpinan Encik Hlaing.
Pakar Asia Tenggara dari Universiti Thammasat, Encik Dulyapak Preecharush, berkata terdapat garis pemisah yang sangat halus antara usaha berunding dengan Myanmar dan memberi legitimasi kepada pemerintahannya.
“Apabila hubungan menjadi semakin rapat dan mesra, persepsi bahawa Thailand sedang mengesahkan legitimasi Hlaing boleh muncul dengan cepat,” katanya.
Beliau bagaimanapun mengakui pendekatan diplomatik Thailand mungkin memberi ruang kepada Bangkok memainkan peranan sebagai penghubung antara Myanmar dan Asean.
Thailand mempunyai kepentingan besar dalam kestabilan Myanmar kerana kedua-dua negara berkongsi sempadan darat yang panjang.
Pertempuran antara tentera Myanmar dengan pelbagai kumpulan pemberontak turut memberi kesan kepada kawasan sempadan Thailand, selain menyebabkan jutaan rakyat Myanmar mendapatkan perlindungan di negara jiran itu.
Bangkok juga berdepan cabaran membanteras sindiket penipuan dalam talian dan penyeludupan dadah yang beroperasi di kawasan sempadan Myanmar.
Menteri Luar Thailand, Encik Sihasak Phuangketkeow, berkata isu sindiket penipuan dalam talian akan dibangkitkan dalam pertemuan dengan Encik Hlaing.
Beliau percaya Myanmar mampu melakukan lebih banyak usaha bagi membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan itu.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa Myanmar pada 3 Ogos membenarkan Cik Aung San Suu Kyi bertemu wakil Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), kali pertama beliau dilihat bertemu pegawai asing sejak ditahan selepas rampasan kuasa lima tahun lalu.
Pertemuan itu disambut baik Thailand yang menyifatkannya sebagai langkah positif ke arah mewujudkan keamanan dan kestabilan berkekalan di Myanmar.
Walaupun begitu, penganalisis berkata usaha pemulihan hubungan Myanmar dengan Asean masih berdepan cabaran besar selagi konflik bersenjata berterusan.
Beberapa kumpulan pemantau konflik melaporkan tentera Myanmar terus meningkatkan serangan udara terhadap kawasan awam walaupun Hlaing berulang kali menyatakan bahawa keutamaannya ialah menamatkan perang saudara.
Lawatan rasmi ke Thailand ini dilihat sebagai ujian penting terhadap strategi diplomatik baru Myanmar, selain menjadi penanda aras sejauh mana Asean bersedia membuka semula ruang kerjasama dengan Naypyidaw tanpa menjejaskan pendirian blok itu terhadap pelaksanaan pelan damai serantau. – Agensi berita.
