ANKARA: Presiden Penguasa Palestin (PA), Encik Mahmoud Abbas, menyatakan kepada Parlimen Turkey bahawa beliau berhasrat melawat Gaza dan Baitulmakdis sebagai tanda bantahan terhadap tindakan ketenteraan Israel di wilayah tersebut.
Beliau turut menegaskan bahawa konflik yang sedang berlaku tidak akan berakhir selagi Israel tidak berundur dari wilayah Palestin yang didudukinya.
Encik Abbas, yang telah bertemu dengan Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, di Ankara pada 14 Ogos untuk membincangkan isu perang dan usaha ke arah gencatan senjata, berucap dalam sesi luar biasa Parlimen Turkey atas undangan rasmi pemerintah negara tersebut.
Dalam ucapan selama 46 minit yang dihadiri oleh Encik Erdogan bersama para menteri dan ahli parlimen dari pelbagai parti politik pada 15 Ogos, Encik Abbas menuduh Amerika Syarikat dengan sengaja memanjangkan “tragedi”.
Ini termasuk dengan terus memberikan sokongan kepada Israel dan menggunakan kuasa veto dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap resolusi yang mengecam Israel.
Encik Abbas turut menyeru masyarakat antarabangsa agar mengambil tindakan terhadap Israel atas jenayah perang dan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang dilakukan oleh negara itu.
“Saya telah putuskan untuk bersama-sama dengan anggota Penguasa Palestin (PA) menuju ke Jaluran Gaza.
“Saya akan melakukan segala yang termampu agar kita dapat bersama rakyat dalam menghentikan pencerobohan yang tidak berperikemanusiaan ini, meskipun ia mungkin mengorbankan nyawa kita,” kata Encik Abbas sambil menambah bahawa beliau juga akan ke Baitulmakdis.
Namun, beliau tidak menyebut bila lawatan tersebut akan dilakukan.
Undangan Turkey kepada Encik Abbas itu dibuat selepas Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berucap di Kongres Amerika Syarikat pada Julai.
“Pada 24 Julai, seorang yang dituduh sebagai penjenayah perang telah berucap penuh dengan pembohongan di Kongres Amerika.
“Hari ini, Mahmoud Abbas berdiri di sini menyatakan kebenaran dan tujuan sebenar Palestin dalam setiap kata,” ujar Speaker Parlimen Turkey, Encik Numan Kurtulmus, selepas ucapan Encik Abbas.
Setakat ini, serangan Israel di Gaza telah mengorbankan lebih 40,000 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 92,400 yang lain, kata pihak berkuasa kesihatan tempatan. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg