DAMSYIK: Presiden peralihan Syria Ahmed al-Sharaa berkata negaranya akan mengambil masa antara empat dengan lima tahun untuk mengadakan pilihan raya presiden.
Ini merupakan kali pertama beliau meletakkan garis masa untuk pengundian sejak beliau dilantik sebagai presiden peralihan pada 30 Januari.
Encik Sharaa, yang mengetuai kumpulan pemberontak melancarkan serangan kilat yang menggulingkan Presiden autokratik Encik Bashar al-Assad pada awal Disember 2024.
Kejatuhan rejim kuku besi Encik Assad menamatkan pemerintahan keluarga itu selama 50 tahun, tetapi meninggalkan luka mendalam dalam kalangan rakyat Syria.
Encik Assad telah melarikan diri ke Russia.
Dalam temu bual dengan TV Syria yang disiarkan pada 3 Februari, Encik Sharaa berkata:
“Saya menganggarkan tempoh antara empat dengan lima tahun bagi pilihan raya diadakan kerana terdapat keperluan untuk kerja-kerja melibatkan prasarana yang luas dan infrastruktur ini perlu diwujudkan semula dan mewujudkannya memerlukan masa.”
Beliau berkata pihak berkuasa Syria perlu menyatukan data mengenai penduduk negaranya dengan tujuan mengemas kini data pilihan raya.
“Tanpa data ini, sebarang pilihan raya yang diadakan akan diragui,” tambahnya.
Encik Sharaa berkata Syria akan menggunakan norma antarabangsa pada tempoh peralihan, termasuk melibatkan pemilihan presiden.
Beliau tidak menyatakan norma antarabangsa yang telah disemak bagi menentukan garis masa penetapan pilihan raya.
Apabila Encik Sharaa diisytiharkan sebagai Presiden peralihan, beliau juga diberi kuasa untuk membentuk majlis perundangan sementara dalam tempoh peralihan dan perlembagaan Syria telah digantung.
Beliau telah berikrar untuk memulakan peralihan politik termasuk persidangan kebangsaan untuk melahirkan pemerintah yang terangkum.
Encik Sharaa selanjutnya berkata bahawa jawatankuasa persediaan akan dibentuk untuk mengadakan perundingan di seluruh Syria.
“Kemudian, kami akan menjemput mereka yang kami fikir mewakili rakyat Syria secara amnya untuk duduk dalam jawatankuasa itu,” katanya.
Menurutnya, persidangan itu akan membincangkan “semua masalah penting di Syria” dan menghasilkan kenyataan akhir yang akan menjadi asas kepada pengisytiharan perlembagaan.
Encik Sharaa pada Disember menyatakan penggubalan perlembagaan baru boleh mengambil masa sehingga tiga tahun. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg