RIYADH: Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, berbincang mengenai cara menyokong keselamatan dan kestabilan Syria semasa lawatan pertama Presiden Sementara Syria, Encik Ahmed al-Sharaa, ke luar negara sejak memegang jawatan.
Pemimpin kedua-dua negara itu membincangkan aspek hubungan antara negara mereka serta peluang untuk memperkukuhkannya dalam pelbagai bidang.
Mereka juga meneliti perkembangan situasi serantau dan usaha yang perlu dilakukan berkaitan dengannya.
Dalam mesyuarat yang berlangsung di Riyadh, Putera Mahkota Mohammed mengucapkan tahniah kepada Encik Sharaa atas pelantikannya sebagai presiden sementara dan menyatakan hasrat Arab Saudi untuk menyokong Syria dalam tempoh peralihan ini.
“Kami berharap kepimpinan baru Syria akan membawa keamanan dan kemakmuran kepada rakyatnya,” kata Putera Mohammed.
Encik Sharaa dilantik oleh komander tentera Syria selepas kumpulan militan merampas Damsyik pada Disember 2024.
Perubahan ini telah membawa gelombang baru dalam landskap geopolitik Timur Tengah, dengan pelbagai negara, termasuk Arab Saudi, mengambil langkah untuk menilai semula hubungan mereka dengan kepimpinan baru Syria.
“Dalam pertemuan panjang kami, saya merasakan keikhlasan Arab Saudi dalam membantu Syria membina semula masa depannya,” kata Encik Sharaa dalam kenyataan yang dimuat naik di Telegram.
Beliau menekankan bahawa Riyadh menunjukkan kesediaan untuk menyokong Syria bukan sahaja dalam aspek diplomatik, malah dalam sektor ekonomi dan kemanusiaan.
Lawatan Encik Sharaa ke Arab Saudi ini dilihat sebagai satu langkah strategik yang menandakan perubahan dalam orientasi politik Syria, yang kini lebih cenderung kepada negara Teluk berbanding Iran, sekutu utama rejim Bashar al-Assad sebelum ini.
Pada Januari, Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan, melawat Damsyik dan mengesahkan bahawa Riyadh sedang berbincang dengan Amerika Syarikat serta rakan Eropah untuk membantu membatalkan sekatan ekonomi yang telah melemahkan ekonomi Syria selama bertahun-tahun.
“Keutamaan kami adalah membantu Syria keluar daripada krisis ekonomi dan kemanusiaan yang semakin meruncing,” kata Putera Faisal selepas lawatannya.
Keadaan ini membuka ruang baru bagi Syria untuk kembali ke pangkuan dunia Arab, selepas sebelum ini dikecualikan daripada Liga Arab berikutan tindakan keras rejim Assad terhadap pembangkang sejak 2011.
Peralihan kuasa di Syria turut memberi kesan besar terhadap keseimbangan kuasa di Timur Tengah.
Dengan kehilangan sekutu utamanya di Damsyik, Iran kini berdepan cabaran dalam mengekalkan pengaruhnya di rantau ini.
Sementara itu, Turkey yang menyokong pemberontak Syria sejak awal perang saudara kini muncul sebagai kuasa dominan dalam hubungan dengan pemerintah sementara.
Bagi Arab Saudi, perubahan ini merupakan peluang untuk mengukuhkan kembali pengaruhnya di Syria dan Lebanon, dua negara yang sebelum ini dikuasai oleh pengaruh Iran.
“Arab Saudi sentiasa menyokong kestabilan di rantau ini dan akan terus berusaha memastikan Syria tidak lagi menjadi medan pertempuran bagi kuasa asing,” kata seorang pegawai kanan Saudi yang enggan dikenali.
Pendirian negara Teluk terhadap Syria telah berubah dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada mulanya, mereka berwaspada terhadap kumpulan Islamis yang mengambil alih kuasa di Syria, namun kini semakin bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan interim.
Bukti terbaru ialah lawatan Emir Qatar ke Damsyik pada 30 Januari yang menandakan pertemuan pertama pemimpin Teluk dengan Encik Sharaa sejak beliau mengambil alih tampuk kepimpinan.
Langkah itu menunjukkan minat negara Teluk dalam membantu membentuk masa depan Syria yang baru.
Encik Sharaa sendiri memberi penghargaan terhadap sokongan Arab Saudi dalam satu kenyataan: “Arab Saudi mempunyai peranan besar dalam masa depan Syria dan saya menghargai segala usaha mereka untuk membantu kami.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg