NEW YORK: Pemimpin baru Syria memberi amaran bahawa serangan berterusan Israel menyebabkan wilayah itu berisiko, tetapi dalam masa yang sama menyokong diplomasi ketika berucap buat kali pertama di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 24 September.
Encik Ahmed al-Sharaa ialah Presiden Syria pertama yang berucap dalam Perhimpunan Agung PBB (UNGA) dalam beberapa dekad, menandakan perubahan pesat bagi bekas pejuang yang sehingga tahun lalu diburu Amerika Syarikat.
Beliau yang merupakan seorang pemimpin paling diperhatikan pada minggu diplomasi tahunan PBB, berkata bahawa Syria telah membuka pintunya selepas setengah abad pemerintahan oleh rejim Al-Assad.
“Syria telah berubah daripada pengeksport krisis kepada pejuang keamanan,” kata Encik Sharaa dalam ucapan di Perhimpunan Agung.
Tetapi beliau memberi amaran bahawa Israel, yang telah berulang kali menyerang pesaing bersejarahnya sejak kejatuhan rejim Assad, telah merosakkan prospek Syria baru.
“Saya memberi jaminan untuk membawa ke muka pengadilan dan mereka yang bertanggungjawab atas pertumpahan darah itu.
“Dalam konteks ini, serangan berterusan Israel terhadap negara saya, bercanggah dengan sokongan antarabangsa terhadap Syria dan mengancam krisis baru,” ujar Encik Sharaa.
Beliau berkata bahawa Syria komited kepada perjanjian gencatan senjata yang dicapai selepas Perang Yom Kippur 1973, yang diisytiharkan Israel sekurang-kurangnya terbatal buat sementara waktu, selepas tentera pimpinan Encik Sharaa menggulingkan rejim Assad pada Disember.
“Dalam menghadapi pencerobohan ini, Syria komited untuk berdialog dan kami komited kepada Perjanjian Penghapusan Angkatan Tentera 1974.
“Kami menyeru masyarakat antarabangsa supaya berdiri di samping kami dalam menghadapi serangan ini, tambahnya.
Israel telah mengambil tindakan ketenteraan yang agresif di seluruh rantau ini selepas kejutan serangan 7 Oktober 2023 oleh Hamas.
Amerika telah berdiri di samping Israel, yang kempen dahsyat ketenteraannya di Gaza telah membawa kecaman global yang meluas.
Namun Encik Trump kemudian dilihat mula berpaling arah kerana tidak lagi sehaluan dengan Israel, lalu meminta sokongan daripada Encik Sharaa.
Encik Trump bertemu Encik Sharaa pada Mei di Riyadh atas desakan pemimpin Arab Saudi dan Turkey.
Encik Trump kemudian mengumumkan penarikan balik sekatan era rejim Assad ke atas Syria.
Encik Sharaa telah menggembirakan Amerika dengan mengelak perbincangan yang sukar mengenai Israel, walaupun beliau pernah berkata bahawa beliau tidak bersedia untuk mengiktiraf Israel, matlamat utama pentadbiran Encik Trump.
Di New York, beliau bertemu Setiausaha Negara Amerika Encik Marco Rubio dan pemimpin global termasuk Presiden Perancis Encik Emmanuel Macron. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg