Presiden Tharman Shanmugaratnam telah mengirim kawat tahniah kepada bakal Presiden Donald Trump di atas kemenangannya dalam pilihan raya Amerika Syarikat pada 5 November.
Dalam catatan di Facebook pada 6 November, Tuan Presiden berkata Encik Trump akan “memimpin negara yang memerlukan penyembuhan, dan rakyat yang mesti mencapai semula tujuan bersama, walaupun berpecah-belah”.
Menyedari bahawa “tiada sesiapa yang boleh mengharapkan ini dapat dicapai dengan mudah atau cepat”, beliau menyifatkan tugas itu sebagai besar bagi pemerintah dan setiap lapisan masyarakat negara itu.
“Tetapi Presiden Trump berikrar dalam ucapan kemenangannya untuk bekerja setiap hari dan dengan setiap nafas untuk setiap rakyat, keluarga mereka dan masa depan mereka,” ujarnya.
Tuan Presiden juga berkata bahawa Amerika memainkan peranan penting dalam dunia yang “mengharapkan keamanan bagi semua orang dan untuk negara-negara besar dan kecil agar dapat makmur bersama”.
“Singapura mempunyai hubungan yang mendalam dan berkekalan dengan Amerika. Kami berharap dapat bekerja secara aktif dengan Presiden Trump dan pasukannya untuk mencapai kepentingan bersama dalam dunia yang saling bergantungan,” kata beliau lagi.
Terdahulu Perdana Menteri Lawrence Wong menerusi catatannya di laman Facebook pada 6 November turut mengucapkan tahniah kepada Encik Trump atas kemenangannya dalam pilihan raya presiden Amerika.
Encik Wong berkata Singapura bersedia untuk bekerjasama rapat dengan Encik Trump dan pentadbirannya demi meningkatkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara, serta mengukuhkan kerjasama Amerika di Asia Pasifik.
Beliau turut menarik perhatian bahawa dalam penggal pertama Encik Trump sebagai presiden dahulu, Singapura dan Amerika mencatat kemajuan ketara dalam hubungan kerjasama, khususnya dalam bidang seperti pertahanan, ekonomi dan perdagangan.
Kemenangan Encik Trump turut disambut oleh beberapa pemimpin dunia, antaranya ialah Presiden Korea Selatan, Encik Yoon Suk Yeol; Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron; Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan; Canselor Jerman, Encik Olaf Scholz; Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr; dan Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah Al Sisi.
Ini termasuk juga ucapan daripada Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi; Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer; Perdana Menteri Italy, Cik Giorgia Meloni; Perdana Menteri Pakistan, Encik Shehbaz Sharif; dan Perdana Menteri Sepanyol, Encik Pedro Sanchez.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg