CARACAS: Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, pada 1 Januari, mengelak daripada mengesahkan atau menafikan dakwaan serangan Amerika Syarikat ke atas sebuah jeti di negara itu, namun pada masa sama menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Washington selepas beberapa minggu tekanan ketenteraan dan sekatan semakin meningkat.
Dalam satu wawancara yang disiarkan di televisyen pemerintah bersama wartawan Sepanyol, Encik Ignacio Ramonet, Encik Maduro mengambil nada lebih berdamai terhadap Amerika Syarikat, khususnya berhubung isu pemerdagangan dadah, minyak dan migrasi. “Di mana sahaja mereka mahu dan bila-bila masa mereka mahu,” kata Encik Maduro apabila ditanya mengenai kemungkinan dialog dengan Amerika Syarikat. “Sudah tiba masanya kita mula berbincang secara serius, dengan data di tangan,” tambahnya.
Kenyataan itu dibuat ketika pemerintah Maduro masih berdiam diri terhadap pengumuman Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, awal minggu ini bahawa tentera Amerika Syarikat telah menyerang sebuah kemudahan pelabuhan di Venezuela yang didakwa digunakan untuk memunggah bot pemerdagangan dadah.
Sehingga kini, pemerintah Venezuela tidak mengesahkan mahupun menafikan dakwaan tersebut. Apabila ditanya secara langsung sama ada beliau mengesahkan atau menolak serangan itu, Encik Maduro hanya menjawab: “Ini mungkin sesuatu yang boleh kita bincangkan dalam beberapa hari akan datang.”
Nada berhati-hati itu muncul ketika hubungan Caracas–Washington berada pada tahap paling tegang dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Amerika Syarikat sejak beberapa bulan lalu meningkatkan sekatan ekonomi, tekanan diplomatik dan operasi ketenteraan laut terhadap apa yang didakwanya sebagai rangkaian penyeludupan dadah dari Amerika Latin.
Encik Trump mendakwa pada 29 Disember bahawa Amerika telah “memusnahkan” sebuah kawasan jeti yang digunakan untuk memuatkan bot sarat dadah di Venezuela. Namun beliau enggan memperincikan sama ada serangan itu dilakukan oleh tentera atau Agensi Perisikan Pusat (CIA), atau lokasi tepat kejadian, selain menyatakan ia berlaku “di sepanjang pesisir pantai”.
“Berlaku letupan besar di kawasan jeti tempat mereka memuatkan bot dengan dadah,” kata Encik Trump kepada wartawan di resort Mar-a-Lago miliknya di Florida. “Kami memusnahkan bot-bot itu dan kini kawasan operasi itu juga sudah tiada.”
Encik Trump turut berulang kali mengancam akan melancarkan serangan darat terhadap kartel dadah yang digelarnya sebagai “narkoterroris”, dan menuduh Maduro mengetuai rangkaian pemerdagangan dadah yang bertujuan menggugat kestabilan Amerika Syarikat, dakwaan yang ditolak keras oleh Caracas.
Encik Maduro menegaskan bahawa pendekatan Washington menjelaskan niat sebenar Amerika Syarikat.
“Ini jelas menunjukkan mereka mahu memaksakan kehendak mereka ke atas Venezuela melalui ancaman, ugutan dan kekerasan,” katanya.
Namun pada masa sama, beliau menegaskan bahawa Venezuela terbuka kepada pelaburan Amerika Syarikat dalam sektor minyak, sambil merujuk kepada syarikat Chevron sebagai contoh. “Jika mereka mahukan minyak, Venezuela bersedia menerima pelaburan Amerika Syarikat, seperti yang dilakukan bersama Chevron,” katanya.
Kenyataan itu mencerminkan perubahan nada Encik Maduro, yang sebelum ini lebih keras terhadap Washington. Pada hari yang sama wawancara itu disiarkan, pemerintah Venezuela membebaskan lebih 80 tahanan yang dituduh terlibat dalam protes selepas pilihan raya 2024 yang dipertikaikan, satu langkah yang dilihat sebagai usaha meredakan tekanan antarabangsa.
Sejak September lalu, Amerika Syarikat telah melancarkan puluhan serangan laut terhadap bot yang didakwa terlibat dalam penyeludupan dadah di Laut Caribbean dan Pasifik timur. Menurut angka yang diumumkan oleh pentadbiran Encik Trump, sekurang-kurangnya 35 serangan telah dilakukan, mengorbankan sekurang-kurangnya 115 orang, termasuk warga Venezuela dan Colombia.
Serangan terbaru itu, yang berlaku pada malam Tahun Baru, melibatkan lima bot dan mengorbankan sekurang-kurangnya lima individu. Insiden itu menjadikan kemungkinan serangan darat di Venezuela sebagai yang pertama dalam kempen ketenteraan Amerika Syarikat terhadap pemerdagangan dadah dari Amerika Latin.
Encik Maduro menegaskan bahawa Venezuela mampu mempertahankan diri walaupun berdepan tekanan ketenteraan berterusan. “Rakyat kami selamat dan hidup dalam keadaan aman,” katanya.
Namun spekulasi mengenai lokasi sebenar serangan Amerika semakin tersebar selepas Presiden Colombia, Encik Gustavo Petro, mendakwa bahawa Encik Trump telah “mengebom sebuah kilang di Maracaibo” yang didakwa digunakan untuk memproses dadah.
Dakwaan itu mencetuskan khabar angin di media sosial bahawa kebakaran di gudang sebuah pengedar bahan kimia di Maracaibo mungkin berkaitan dengan serangan tersebut. Bagaimanapun, Ketua syarikat Primazol, Carlos Eduardo Siu, menafikan dakwaan itu. “Kami tidak membungkus atau mengeluarkan sebarang jenis narkotik,” katanya.
Encik Maduro turut mendedahkan bahawa beliau tidak lagi berhubung dengan Encik Trump sejak perbualan telefon mereka pada 12 November lalu, yang disifatkannya sebagai “mesra dan saling menghormati”. “Saya fikir perbualan itu agak menyenangkan, tetapi selepas itu perkembangannya tidak menyenangkan. Kita tunggu sahaja,” katanya.
Sementara Washington menuduh Encik Maduro terlibat secara langsung dalam pemerdagangan dadah, pakar serantau menyatakan bahawa Venezuela tidak diketahui sebagai pemain utama dalam perdagangan fentanyl, dadah yang menyumbang kepada jumlah kematian akibat overdosis tertinggi di Amerika Syarikat.
Pakar undang-undang antarabangsa dan kumpulan hak asasi manusia turut mempersoalkan kesahihan kempen serangan laut Amerika Syarikat, dengan menyifatkannya berpotensi sebagai pembunuhan di luar proses kehakiman, satu dakwaan yang dinafikan oleh Washington.
Dalam ketidaktentuan yang berterusan ini, kenyataan Encik Maduro membuka ruang dialog dilihat sebagai percubaan berhati-hati untuk meredakan krisis, walaupun bayang-bayang konfrontasi ketenteraan antara Caracas dan Washington terus menghantui rantau itu. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg