CARACAS (Venezuela): Kempen agresif Amerika Syarikat terhadap kapal tangki yang membawa minyak mentah Venezuela kini mencetuskan kekacauan serius dalam industri minyak negara itu, sekali gus mengancam sumber pendapatan utama pemerintahan Presiden Nicolás Maduro.
Tindakan terbaru Washington bukan sahaja menjejaskan eksport minyak Venezuela, malah berisiko memadamkan pemulihan kecil yang dicapai selepas bertahun-tahun krisis ekonomi.
Menurut sumber yang rapat dengan industri minyak Venezuela, pentadbiran Encik Maduro bergelut menyesuaikan diri dengan peningkatan tekanan mendadak oleh Presiden Donald Trump.
Dalam tempoh dua minggu lalu, agensi penguatkuasaan Amerika telah mengambil tindakan terhadap tiga kapal tangki yang terlibat dalam eksport minyak mentah Venezuela, satu langkah yang disifatkan sebagai luar biasa dan berskala tinggi.
Pelabuhan Venezuela kini dipenuhi kapal tangki sarat dengan minyak, apabila pihak berkuasa bimbang melepaskan kapal-kapal tersebut ke perairan antarabangsa kerana berisiko disekat atau dirampas oleh Amerika.
Data perkapalan menunjukkan beberapa kapal yang dalam perjalanan ke Venezuela berpatah balik, manakala pemilik kapal mula membatalkan kontrak memuatkan minyak mentah.
Dalam tempoh yang singkat, Amerika merampas sebuah kapal tangki yang berada di bawah sekatan ketika ia berlayar dari Venezuela ke Asia.
Sebuah lagi kapal yang tidak berada di bawah sekatan turut dipintas, manakala Pengawal Pantai Amerika cuba menaiki sebuah kapal ketiga yang sedang menuju ke Venezuela untuk mengambil muatan.
Langkah ini telah melumpuhkan hampir sepenuhnya eksport minyak Venezuela.
“Ini bukan sesuatu yang boleh diteruskan berbulan-bulan lamanya,” kata Encik Jim Burkhard, Ketua Penyelidikan Minyak Mentah Global di S&P Global Energy.
Menurutnya, eksport minyak merupakan nadi utama aliran mata wang asing Venezuela, dan gangguan berpanjangan boleh membawa kesan ekonomi yang mendalam.
Bagi mengekalkan operasi telaga minyak, pemerintah Maduro sedang mempertimbangkan untuk meminjam kapal tangki milik syarikat swasta sebagai tempat simpanan sementara minyak mentah, sementara mencari jalan menjual sumber tersebut.
Namun, langkah itu dianggap hanya bersifat sementara dan tidak menyelesaikan masalah asas.
Dalam masa yang sama, Caracas turut mempertimbangkan respons yang lebih tegas.
Bot ronda bersenjata Venezuela kini mengiringi kapal yang membawa minyak dan produk berasaskan minyak, walaupun pengiringan itu setakat ini terhad dalam perairan wilayah negara tersebut.
Pemerintah juga dikatakan menimbang untuk menempatkan askar bersenjata di atas kapal tangki yang menuju ke China, pengimport utama minyak Venezuela.
Langkah sedemikian berpotensi menyukarkan usaha Pengawal Pantai Amerika memintas kapal tersebut, namun pada masa sama berisiko mencetuskan konflik ketenteraan dengan armada kapal perang Tentera Laut Amerika yang telah dikerahkan oleh Encik Trump di Caribbean sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Encik Trump sebelum ini menuduh Encik Maduro, tanpa mengemukakan bukti, menyalurkan dadah ke Amerika dan mencuri minyak daripada syarikat Amerika.
Tuduhan itu menjadi asas kepada pendekatan keras Washington terhadap industri minyak Venezuela.
Penganalisis industri menyifatkan situasi semasa sebagai kritikal.
Ia mengancam untuk memadamkan peningkatan sederhana pengeluaran minyak yang dicapai sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Dalam langkah senyap sebelum ini, Encik Maduro telah meninggalkan nasionalisme sumber yang menjadi teras ideologi sosialisnya, dengan menyerahkan konsesi minyak kepada puluhan syarikat swasta dan memberikan kawalan operasi lebih besar kepada rakan usaha sama multinasional.
Hasilnya, pengeluaran minyak meningkat kepada kira-kira 1.1 juta tong sehari tahun ini, berbanding sekitar 360,000 tong sehari pada separuh kedua 2020.
Namun, tindakan mengejut Amerika terhadap armada kapal tangki Venezuela kini menghentikan peningkatan tersebut.
Menurut TankerTrackers.com, hanya dua kapal yang membawa minyak dijual oleh syarikat minyak negara Venezuela cuba belayar keluar dari perairan negara itu sejak rampasan kapal pertama, Skipper, pada 10 Disember.
Salah satu kapal itu, Centuries, dipintas Pengawal Pantai Amerika walaupun tiada waran rampasan, manakala status sebuah lagi kapal masih tidak jelas.
Satu-satunya pengecualian ialah Chevron.
Syarikat minyak Amerika itu terus mengeksport minyak dari Venezuela di bawah permit khas daripada pentadbiran Encik Trump.
Encik Maduro menggunakan eksport Chevron sebagai bukti bahawa industri minyak negaranya masih beroperasi.
“Kami adalah orang yang serius. Apabila kami menandatangani kontrak mengikut Perlembagaan dan undang-undang, ia dilaksanakan sepenuhnya,” kata Encik Maduro dalam ucapan televisyen.
Namun, manfaat kewangan kepada kerajaan Venezuela adalah terhad.
Di bawah kontrak sedia ada, Chevron mengekalkan separuh daripada kira-kira 240,000 tong sehari yang dihasilkannya, manakala baki separuh milik pemerintah kini semakin sukar untuk dijual. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg