WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata beliau mahu mengadakan rundingan pelucutan senjata nuklear dengan Russia dan China – suatu isu yang pernah diutarakan – sambil beliau berusaha memulakan semula diplomasi yang terhenti dengan Korea Utara.
“Salah satu perkara yang kami cuba lakukan dengan Russia dan China ialah pelucutan senjata nuklear, dan ia sangat penting,” kata Encik Trump kepada pemberita menjelang pertemuannya pada 25 Ogos dengan Presiden Korea Selatan, Encik Lee Jae Myung, di Rumah Putih.
“Saya rasa pelucutan senjata nuklear adalah matlamat besar, tetapi Russia bersedia melakukannya, dan saya fikir China juga akan turut sama.
“Kita tidak boleh membiarkan senjata nuklear berleluasa dan kita perlu menghentikannya. Kuasa nuklear hebat bukan kepalang,” kata Encik Trump.
Dalam acara berasingan di Rumah Putih pada 25 Ogos, Encik Trump berkata beliau telah membangkitkan isu itu dengan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin.
Namun, beliau tidak berkongsi butiran khusus mengenai bila perbincangan itu telah diadakan.
“Kami bercakap tentang mengehadkan senjata nuklear.
“Kami akan membawa China menyertai perbincangan ini,” tambahnya.
“China jauh di belakang, tetapi mereka akan mengejar kami dalam tempoh lima tahun.”
Ulasan presiden Amerika itu dibuat sedang beliau menyatakan hasratnya mahu bertemu pemimpin Korea Utara, Encik Kim Jong Un, pada 2025.
Namun Encik Kim tidak mengendahkan seruan berulang Encik Trump sejak beliau memegang jawatan presiden Amerika pada Januari lalu, untuk memulihkan diplomasi langsung yang pernah diusahakan Encik Trump semasa penggal pertamanya dari 2017 hingga 2021.
Hasrat beliau itu tidak menghasilkan sebarang perjanjian untuk menghentikan program nuklear Korea Utara.
Encik Trump yang mulanya berhasrat meneruskan usaha mengawal senjata nuklear pada Februari lalu, berkata beliau mahu memulakan perbincangan dengan Encik Putin dan Presiden China, Encik Xi Jinping, tentang membataskan senjata mereka.
Encik Trump ketika itu berkata pelucutan senjata nuklear akan menjadi matlamat penggal keduanya dan berharap dapat memulakannya dalam tempoh tidak terlalu lama.
Tumpuan terhadap kawalan senjata nuklear timbul apabila Perjanjian Pengurangan Senjata Strategik Baru (New Start), bakal tamat tempoh pada 5 Februari 2026.
Ditandatangani pada 2010, ia adalah perjanjian senjata nuklear terakhir antara Amerika dengan Russia dan mengehadkan bilangan kepala peledak strategik dan sistem peluncurannya yang boleh digunakan oleh setiap pihak.
Russia memberi amaran bahawa prospek untuk memperbaharui perjanjian itu kelihatan malap.
Di bawah presiden sebelum ini, Encik Joe Biden, Amerika telah cuba melibatkan China dalam rundingan senjata nuklear tetapi tiada sebarang kemajuan dicapai. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg