NEW DELHI/BEIJING: Presiden China, Encik Xi Jinping, berkemungkinan tidak akan menghadiri sidang kemuncak pemimpin G20 di India minggu depan, sumber yang biasa dengan perkara itu di India dan China memberitahu agensi berita Reuters.
Dua pegawai India, seorang diplomat yang berpangkalan di China dan seorang pegawai yang bekerja untuk pemerintah negara G20 lain berkata, Perdana Menteri China, Encik Li Qiang, dijangka mewakili Beijing pada mesyuarat 9-10 September di New Delhi.
Jurucakap kementerian luar India dan China tidak menjawab permintaan untuk mendapatkan komen mereka.
Sidang kemuncak di India dilihat sebagai tempat di mana Presiden Xi boleh bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, yang telah mengesahkan kehadirannya, ketika kedua-dua negara kuasa besar itu berusaha menstabilkan hubungan yang terjejas oleh pelbagai ketegangan perdagangan dan geopolitik.
Kali terakhir Encik Xi bertemu Encik Biden di luar sidang kemuncak G20 di Bali, Indonesia pada November lalu.
Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, telah mengumumkan bahawa beliau tidak akan pergi ke New Delhi dan sebaliknya akan menghantar Menteri Luar Russia, Encik Sergei Lavrov.
Seorang pegawai kanan pemerintah negara tuan rumah, India memberitahu agensi berita Reuters bahawa “kami sedar bahawa perdana menteri akan datang”, menggantikan Encik Xi.
Sumber di China, dua daripadanya berkata mereka dimaklumkan oleh pegawai China, berkata mereka tidak mengetahui sebab beliau tidak akan hadir di sidang itu.
Terdahulu India telah menolak “peta standard” baru China yang menunjukkan negeri Arunachal Pradesh sebagai sebahagian wilayah China.
“Kami hari ini telah mengemukakan bantahan keras melalui saluran diplomatik mengenai apa yang dipanggil ‘peta standard’ China 2023 yang menuntut wilayah India,” kata jurucakap Kementerian Luar India Arindam Bagchi dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pertikaian itu berlaku beberapa hari sebelum Presiden Xi dijangka ke New Delhi untuk menghadiri Sidang Puncak G20.
India dan China mempunyai tuntutan wilayah yang bertindih di sepanjang garisan kawalan sejauh 3,488 kilometer yang memisahkan kedua-dua negara. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg