Kerja pembaikan kawasan tanah jerlus di Jalan Masjid India di Kuala Lumpur, yang mengakibatkan seorang wanita warga India terjatuh dan hilang pada 23 Ogos, dijangka mengambil masa antara tiga hingga enam bulan.
Perkembangan itu dimaklumkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, menurut laporan laman web Berita Harian Malaysia.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya mengikut arahan yang dikeluarkan di kawasan tapak insiden itu dan sentiasa memberi kerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Janganlah melintasi kawasan kawalan dan pembaikan untuk keselamatan semua,” katanya.
Dalam kejadian pagi 23 Ogos lalu itu, Cik Vijayaletchumy, 48 tahun yang sedang melancong dilaporkan terjatuh secara tiba-tiba di kawasan tanah jerlus berkenaan.
Sehingga kini proses mencari dan menyelamatkannya (SAR) masih belum berjaya. Media telah melaporkan operasi SAR itu kini dihentikan pada 31 Ogos atas faktor keselamatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata tindakan selanjutnya di lokasi kejadian tanah jerlus di Masjid India itu akan diteruskan dengan proses pemulihan.
Proses itu katanya, akan diserahkan kepada PDRM kerana terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan DBKL seperti pemetaan utiliti dan kajian struktur tanah di seluruh Kuala Lumpur.
Selain itu, sesi libat urus antara peniaga juga akan dilaksanakan bagi menyambung kembali aktiviti di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, keluarga Cik Vijayaletchumy telah menjalankan upacara keagamaan sebelum mereka pulang ke India pada petang 1 September.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg