Puasa selamat dan sihat untuk warga emas

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Puasa selamat dan sihat untuk warga emas

Feb 16, 2026 | 5:30 AM

Puasa selamat dan sihat untuk warga emas

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Dr Faisal Johandi, Perunding Bersekutu, Perubatan Geriatrik, Hospital Khoo Teck Puat
Dr Faisal Johandi, Perunding Bersekutu, Perubatan Geriatrik, Hospital Khoo Teck Puat - Foto ihsan DR FAISAL JOHANDI

Jaga kesihatan amanah ibadah

Ramadan adalah bulan mulia dan dinanti-nantikan oleh umat Islam.

Bagi warga emas, berpuasa bukan sahaja tentang soal ketahanan fizikal, bahkan juga memerlukan kefahaman, perancangan dan langkah berjaga-jaga agar ibadah dapat dilaksanakan dengan selamat tanpa menjejas kesihatan.

Risiko berpuasa dalam kalangan warga emas

Berpuasa membawa banyak manfaat dari segi rohani dan kesihatan.

Namun, ia juga mempunyai risiko tertentu, khususnya bagi warga emas dan individu yang menghidap penyakit kronik.

Antara risiko utama yang perlu diberi perhatian ialah penurunan paras gula darah ke tahap terlalu rendah, yang boleh menyebabkan pening, lemah atau pengsan.

Sebaliknya, bagi pesakit kencing manis yang kawalannya tidak baik, puasa boleh mengakibatkan paras gula darah meningkat terlalu tinggi, sekali gus meningkatkan risiko komplikasi serius.

Golongan yang tidak disaran atau perlu tangguh puasa

Tidak semua individu sesuai untuk berpuasa.

Mereka yang sedang sakit atau berada dalam keadaan kesihatan yang tidak stabil dinasihatkan supaya menangguhkan puasa sehingga pulih.

Begitu juga individu yang mengalami paras gula darah yang terlalu rendah atau terlalu tinggi dan tidak terkawal.

Pesakit penyakit kronik yang telah mengalami komplikasi serius, seperti masalah ginjal atau jantung, serta individu yang tidak mampu menahan puasa dari segi fizikal atau mental, perlu mendapatkan nasihat doktor sebelum membuat keputusan untuk berpuasa.

Persediaan awal sebelum Ramadan

Untuk membolehkan ibadah puasa dijalani dengan selamat, persediaan awal sebelum Ramadan amat penting.

Warga emas dan pesakit kronik digalak berbincang dengan doktor mengenai kesesuaian berpuasa serta pelan pengurusan penyakit masing-masing.

Mencuba berpuasa beberapa hari sebelum Ramadan dapat membantu memahami bagaimana tubuh bertindak balas terhadap puasa.

Di samping itu, pengetahuan tentang kawalan pemakanan dan tanda amaran seperti pening, keletihan melampau atau berpeluh sejuk perlu diberi perhatian.

Amalan semasa berpuasa

Semasa berpuasa, pengambilan makanan seimbang ketika sahur dan berbuka adalah kunci utama.

Makanan yang tinggi gula dan lemak wajar dielakkan kerana ia boleh menyebabkan paras tenaga naik mendadak dan kemudian menurun dengan cepat.

Bagi pesakit kencing manis, pemantauan paras gula darah secara berkala amat penting, dan perlu ditegaskan bahawa pemeriksaan gula darah tidak membatalkan puasa.

Kegiatan fizikal yang terlalu berat pada waktu siang juga perlu dielak bagi mengurangkan risiko hipoglisemia – paras kandungan gula yang sangat rendah dalam darah – dan penyahhidratan.

Pengambilan air yang mencukupi semasa sahur dan selepas berbuka hendaklah dijadikan keutamaan.

Prinsip pemakanan sihat

Pemilihan makanan yang betul sepanjang Ramadan membantu mengekalkan tenaga dan kesihatan.

Makanan dengan indeks glisemik (GI) rendah digalakkan kerana ia membekalkan tenaga secara berpanjangan.

Karbohidrat kompleks seperti oat, roti bijirin penuh dan beras ceruh atau beras perang membantu membebaskan tenaga secara perlahan.

Protein daripada telur, yogurt, tauhu, dal dan daging tanpa lemak membantu mengekalkan rasa kenyang lebih lama.

Lemak sihat daripada kekacang, biji benih, avokado dan minyak zaitun serta serat daripada buah-buahan dan sayur-sayuran turut menyokong kawalan gula darah dan kesihatan pencernaan.

Sebaliknya, pencuci mulut, kuih-muih, roti putih dan makanan bergoreng perlu dielak kerana kesannya yang menyebabkan lonjakan tenaga sementara.

Antara kesilapan yang kerap berlaku ialah pengambilan pencuci mulut manis secara berlebihan pada waktu malam serta makanan bergoreng setiap hari.

Langkah mudah seperti berkongsi pencuci mulut, memilih kaedah memasak bakar atau panggang, dan mengehadkan makanan manis kepada bahagian kecil beberapa kali seminggu boleh membantu mengekalkan kesihatan.

Selepas tempoh puasa yang panjang, tubuh tidak seharusnya dibebankan secara mendadak.

Pendekatan berperingkat adalah yang terbaik, dimulakan dengan air dan kurma, diikuti dengan hidangan yang seimbang.

Makanan boleh disusun dengan separuh pinggan sayur-sayuran, satu perempat protein seperti ikan, ayam atau kekacang, dan satu perempat karbohidrat seperti nasi atau bijirin penuh.

Pengambilan minuman dan cegah penyahhidratan

Pengambilan air yang mencukupi amat penting sepanjang Ramadan.

Kecuali bagi mereka yang telah dinasihatkan doktor agar mengehadkan pengambilan air disebabkan penyakit kronik, sasarkan enam hingga lapan cawan air antara waktu berbuka danber sahur, diminum secara berperingkat.

Makanan yang membantu hidrasi seperti sup, buah-buahan berair dan yogurt juga digalakkan.

Pengambilan kopi dan teh secara berlebihan perlu dikurangkan kerana sifatnya yang boleh menyebabkan kehilangan air, begitu juga minuman bergula.

Nasihat untuk warga emas

Secara keseluruhan, warga emas digalakkan mengamalkan pemakanan seimbang dan sederhana, memastikan pengambilan minuman yang mencukupi, mendapatkan rehat dan tidur yang mencukupi, serta memantau kesihatan secara berterusan.

Bagi individu yang menghidap penyakit kronik dan mengambil ubat, nasihat doktor perlu diperoleh bagi menyesuaikan dos dan jadual pengambilan ubat.

Ini supaya rawatan dapat diteruskan tanpa menjejas kesihatan atau ibadah.

Berpuasa dalam Ramadan adalah ibadah yang mulia dan penuh ganjaran.

Namun bagi warga emas, keselamatan dan kesihatan harus menjadi satu keutamaan.

Menjaga kesihatan adalah satu amanah, dan mengambil langkah berjaga-jaga adalah sebahagian daripada ibadah itu sendiri.

Dengan perancangan yang betul, insya-Allah kita dapat menjalani ibadah puasa dengan selamat dan penuh keberkatan.

Penulis Perunding Bersekutu, Perubatan Geriatrik, Hospital Khoo Teck Puat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg