WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan bahawa pentadbirannya akan mula menghantar surat kepada rakan dagang pada 4 Julai untuk menetapkan kadar tarif secara unilateral, yang menurutnya perlu mula dibayar oleh negara-negara tersebut pada 1 Ogos.
Encik Trump memberitahu para wartawan bahawa kira-kira “10 atau 12” surat akan dihantar pada 4 Julai, dengan lebih banyak surat akan dihantar “dalam beberapa hari berikutnya”.
“Saya rasa menjelang 9 haribulan, semuanya akan diliputi sepenuhnya,” tambah Encik Trump, merujuk kepada tarikh akhir 9 Julai yang pada awalnya ditetapkannya untuk negara-negara mencapai perjanjian dengan Amerika bagi mengelakkan kadar tarif import yang lebih tinggi seperti yang diancamnya.
“Nilai tarif akan bermula daripada mungkin 60 atau 70 peratus hingga 10 dan 20 peratus,” tambahnya.
Tahap tertinggi dalam julat itu, jika dimuktamadkan, akan melebihi mana-mana tarif yang dinyatakan Presiden sebelum ini semasa pelancaran “Hari Pembebasan” pada awal April. Ketika itu, tarif bermula daripada 10 peratus untuk kebanyakan ekonomi dan maksimum 50 peratus.
Encik Trump tidak mengulas lanjut mengenai negara-negara yang akan dikenakan tarif atau sama ada barangan tertentu akan dikenakan kadar lebih tinggi berbanding yang lain.
Beliau berkata negara-negara akan “mula membayar pada 1 Ogos. Wang akan mula masuk ke Amerika Syarikat pada 1 Ogos”.
Encik Trump telah lama mengancam bahawa jika negara-negara gagal mencapai perjanjian dengan Amerika sebelum tarikh akhir minggu hadapan, 9 Julai beliau akan mengenakan kadar tersebut secara langsung, sekaligus meningkatkan tekanan ke atas rakan dagang yang berlumba-lumba mendapatkan perjanjian dengan pentadbirannya.
Presiden Amerika itu pertama kali mengumumkan tarif “timbal balas” yang lebih tinggi pada 2 April, tetapi menangguhkan pelaksanaannya selama 90 hari bagi membolehkan negara-negara berunding, dengan kadar 10 peratus dikenakan sepanjang tempoh itu.
Setakat ini, pentadbiran Trump telah mengumumkan perjanjian dengan UK dan Vietnam serta bersetuju dengan gencatan bersama China, yang menyaksikan dua ekonomi terbesar dunia mengurangkan tarif balas-membalas.
Ketika ditanya pada 3 Julai sama ada lebih banyak perjanjian akan diumumkan, Encik Trump menjawab, “kami ada beberapa lagi perjanjian, tetapi anda tahu, saya lebih suka menghantar surat dan menyatakan tarif apa yang mereka akan bayar”. “Itu jauh lebih mudah,” katanya.
Encik Trump mengumumkan perjanjian dengan Vietnam pada 2 Julai, dengan menyatakan bahawa Amerika akan mengenakan tarif 20 peratus ke atas eksport Vietnam ke Amerika dan kadar 40 peratus ke atas barangan yang dikatakan dihantar melalui negara itu – merujuk kepada amalan di mana komponen dari China dan mungkin negara lain dialihkan melalui negara ketiga dalam perjalanan ke Amerika.
Walaupun kadar ini lebih rendah daripada duti 46 peratus yang dikenakan Encik Trump terhadap Vietnam sebelum ini, ia masih lebih tinggi daripada kadar sejagat 10 peratus. Banyak perincian perjanjian itu masih belum jelas, dengan Rumah Putih masih belum mengeluarkan dokumen rasmi atau perisytiharan untuk mengesahkan perjanjian tersebut.
Namun begitu, para pelabur yang menanti-nantikan sebarang perjanjian antara Amerika dan rakan dagangnya berasa lega dengan pengumuman Vietnam pada 2 Julai, yang menyebabkan harga saham pengeluar Amerika yang mempunyai kemudahan di negara itu meningkat.
Bagaimanapun, ramai rakan dagang utama seperti Jepun, Korea Selatan dan Kesatuan Eropah masih berusaha memuktamadkan perjanjian.
Encik Trump menyatakan keyakinan untuk mencapai perjanjian dengan India tetapi mengkritik keras prospek perjanjian dengan Jepun, dengan menggambarkan Tokyo sebagai rakan rundingan yang sukar. Beliau meningkatkan kritikannya minggu ini dengan berkata bahawa Jepun sepatutnya “membayar 30 peratus, 35 peratus atau apa-apa jumlah yang kami tentukan”.
Pada 2 Julai, Presiden juga berkata beliau tidak mempertimbangkan untuk melanjutkan tarikh akhir minggu hadapan. Ketika ditanya mengenai kemungkinan lanjutan rundingan, Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Encik Scott Bessent, berkata Encik Trump akan membuat keputusan muktamad.
“Kami akan melakukan apa yang Presiden mahu, dan beliaulah yang akan menentukan sama ada mereka berunding dengan ikhlas,” kata Encik Bessent kepada CNBC apabila ditanya sama ada tarikh akhir itu akan dilanjutkan. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg