Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pulau Hainan orak langkah jadi pelabuhan dagang bebas terkemuka

Dec 19, 2025 | 12:40 PM
hainan, china, free trade port
Wilayah Hainan di China telah mencatat satu peristiwa penting dengan melancarkan operasi kastam yang bebas sepenuhnya di seluruh pulau pada 18 Disember. - Foto ST

BEIJING: Pulau Hainan di selatan China, yang lebih dikenali dengan pantai berpasir dan pusat membeli-belah bebas cukai, mengambil langkah pertama ke arah mencapai matlamat bercita-cita tinggi untuk menjadi satu pelabuhan perdagangan bebas yang “berpengaruh di peringkat sejagat” menjelang 2050.

Hainan, yang juga merupakan sebuah wilayah, telah mencatat satu peristiwa penting dengan melancarkan operasi kastam seluruh pulau yang bebas sepenuhnya pada 18 Disember, lapor The Straits Times (ST).

Ini membolehkan 74 peratus barangan yang masuk ke Hainan bebas tarif – naik berbanding 21 peratus sebelum ini – sekali gus mengurangkan kos bagi firma yang menjalankan perniagaan di sana.

Matlamatnya adalah untuk membolehkan Hainan berdagang secara bebas dengan seluruh dunia, dengan barangan bebas tarif beredar secara bebas di dalam kawasan pulau itu, manakala barangan import yang keluar dari pulau itu ke seluruh negara akan dikenakan cukai seperti biasa.

Hainan sudah menjadi pelabuhan perdagangan bebas terbesar di dunia dari segi kawasan geografi, dengan keluasan 35,400 kilometer persegi.

Namun ia menyasarkan untuk menyaingi Hong Kong dan Singapura sebagai pelabuhan perdagangan bebas yang berpengaruh di peringkat sejagat.

Tumpuannya adalah pada kegiatan membeli-belah bebas cukai, kewangan luar pesisir, industri berteknologi tinggi, perkhidmatan moden dan pelancongan.

Ia selaras dengan pengumuman, Presiden Xi Jinping, pada 2018 untuk menjadikan Hainan sebagai “pelabuhan perdagangan bebas dengan ciri-ciri China” sebagai tanda komitmen untuk terus membuka negara itu kepada dunia.

Rangsangan baru kepada ekonomi Hainan dibuat sedang ia ketinggalan purata Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) dari 1990-an hingga 2010-an, walaupun ia merupakan zon ekonomi khas wilayah terbesar dan satu-satunya di China, dengan hak istimewa, sejak 1988.

Selain perdagangan, pulau dengan 10 juta penduduk itu juga berharap dapat meningkatkan sektor perindustrian dan perkhidmatannya.

Contohnya, pihak berkuasa Hainan mahukan lebih banyak pelaburan dalam sektor perubatan dan pendidikan, serta dalam perkhidmatan kewangan dan profesional.

Walaupun terdapat insentif cukai dan dasar, saiz tanah yang mencukupi, sumber marin dan pertanian yang besar, serta sokongan politik peringkat tinggi, Hainan menghadapi perjalanan yang panjang untuk merealisasikan cita-citanya sebagai pesaing Singapura dan Hong Kong, kata penganalisis.

Pada 2021, pengecualian tarif import diberikan kepada barangan yang dijual dari Hainan ke seluruh China jika barangan itu memperoleh lebih 30 peratus nilai tambah di Hainan.

Ia adalah untuk menggalakkan pengeluar asing – termasuk industri biofarmaseutikal, peralatan mewah dan elektronik – menggunakan Hainan sebagai pintu masuk ke pasaran China dengan melakukan pemprosesan akhir produk mereka di pulau itu.

Di samping itu, sejak 2020, kadar cukai pendapatan korporat untuk firma dalam industri terpilih dihadkan pada 15 peratus, yang terendah di China.

Cukai pendapatan peribadi pula dihadkan kepada 15 peratus untuk bakat yang berkelayakan.

Dekan badan pemikir, Institut Ekonomi Antarabangsa di Beijing, Profesor Sang Baichuan, memberitahu saluran media kewangan China, Yicai, bahawa dengan peningkatan bilangan barangan yang boleh diimport tanpa tarif, perniagaan boleh menggunakan barangan import dengan kos rendah untuk pemprosesan dan perkilangan serta meningkatkan keuntungan.

“Oleh itu, kami berharap Hainan akan menjadi pangkalan ibu pejabat untuk syarikat berbilang negara yang memasuki pasaran China dan juga pangkalan ibu pejabat untuk perusahaan China yang memasuki pasaran antarabangsa,” katanya dalam temu bual yang diterbitkan pada 18 Disember.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg