Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Isu kesesakan pelabuhan di Eropah beri amaran kepada AS, Asia

Perang dagang boleh sebabkan gangguan maritim, dorong kenaikan kos penghantaran
May 26, 2025 | 2:55 PM
shipping, economy
Ketidaktentuan ekonomi yang didorong oleh dasar tarif Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menyebabkan syarikat perkapalan berdepan penangguhan serta peningkatan kos operasi. - Foto AFP

LONDON: Masalah kesesakan di pelabuhan semakin bertambah buruk di pintu masuk utama di utara Eropah dan hab pelabuhan lain, menurut satu laporan terbaru yang menyatakan perang perdagangan boleh turut menyebabkan gangguan maritim di Asia dan Amerika Syarikat, sekali gus mendorong kenaikan kos penghantaran.

Masa menunggu untuk berlabuh melonjak 77 peratus di Bremerhaven, Jerman, antara akhir Mac dengan pertengahan Mei, menurut laporan yang dikeluarkan pada 23 Mei oleh firma perunding maritim berpangkalan di London, Drewry.

Dalam tempoh itu, masa menunggu turut meningkat 37 peratus di Antwerp, Belgium, dan 49 peratus di Hamburg, Jerman, manakala pelabuhan di Rotterdam, Belanda, dan Felixstowe, Britain, juga mencatat masa menunggu lebih lama.

Kekurangan tenaga kerja dan paras air rendah di Sungai Rhine dikenal pasti sebagai punca utama gangguan pelabuhan di Eropah, yang menjejaskan pergerakan bot muatan antara pelabuhan utama dengan kawasan pedalaman.

Keadaan turut diburukkan lagi oleh langkah sementara Presiden Amerika, Encik Donald Trump, yang menarik semula tarif 145 peratus ke atas import dari China.

Ini sekali gus mendorong lonjakan permintaan penghantaran antara dua ekonomi terbesar dunia itu.

“Penangguhan di pelabuhan telah memanjangkan masa transit, mengganggu perancangan inventori dan memaksa pengangkut membawa stok tambahan.

“Menambah lagi tekanan, dagangan trans-Pasifik arah timur kini menunjukkan tanda-tanda musim puncak lebih awal, didorong oleh penangguhan tarif Amerika-China selama 90 hari yang dijangka tamat pada 14 Ogos,” menurut laporan itu.

Situasi sama turut berlaku di Shenzhen, China, serta Los Angeles dan New York, “di mana bilangan kapal kontena yang menunggu di dermaga terus meningkat sejak akhir April”, menurut laporan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Hapag-Lloyd, Encik Rolf Habben Jansen, berkata dalam satu webinar bahawa walaupun terdapat tanda-tanda keadaan di pelabuhan Eropah semakin pulih, beliau menjangkakan sekurang-kurangnya enam hingga lapan minggu lagi diperlukan sebelum keadaan benar-benar stabil.

Namun, Ketua Pakar Ekonomi Apollo Management, Encik Torsten Slok, berkata pada 25 Mei bahawa perjanjian sementara tarif Amerika-China yang dicapai hampir dua minggu lalu, belum lagi menyebabkan peningkatan drastik pada jumlah kapal di seberang Lautan Pasifik.

“Ini menimbulkan persoalan: Adakah tarif 30 peratus ke atas China masih terlalu tinggi? Atau syarikat Amerika sekadar tunggu dan lihat sama ada tarif akan diturunkan lagi sebelum meningkatkan penghantaran?” tulis Encik Slok.

Tarif Amerika – ditambah dengan ancaman dan perjanjian mendadak – menyukarkan pengimport dan pengeksport untuk merancang tempahan dengan tepat, mengakibatkan turun naik permintaan yang tidak mengikut musim.

Keadaan ini menyebabkan syarikat perkapalan berdepan penangguhan dan peningkatan kos operasi, sekali gus mendorong kenaikan kadar tambang.

Ketidaktentuan ekonomi bertambah pada 23 Mei apabila Encik Trump mengancam untuk mengenakan tarif 50 peratus ke atas Kesatuan Eropah (EU) mulai 1 Jun – langkah yang berkemungkinan mengganggu perdagangan rentas Atlantik.

“Ketidaktentuan dasar tambahan ini akan menjejas kegiatan ekonomi sejagat dengan menambah risiko pada keputusan perbelanjaan,” kata Oxford Economics dalam satu nota penyelidikan pada 24 Mei.

Pada 25 Mei, Encik Trump berkata beliau menangguhkan pelaksanaan tarif 50 peratus ke atas EU sehingga 9 Julai sementara rundingan perdagangan diteruskan.

Namun, ketidaktentuan sama ada beliau akan melaksanakan ancaman itu atau menangguhkannya seperti yang dilakukan terhadap China, terus menambah tekanan ke atas sektor penghantaran. – Agensi berita.

“Penangguhan di pelabuhan telah memanjangkan masa transit, mengganggu perancangan inventori dan memaksa pengangkut membawa stok tambahan. Menambah lagi tekanan, dagangan trans-Pasifik arah timur kini menunjukkan tanda-tanda musim puncak lebih awal, didorong oleh penangguhan tarif Amerika-China selama 90 hari yang dijangka tamat pada 14 Ogos.”
Laporan firma perunding maritim, Drewry.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg