Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura-China setuju bina koridor perkapalan hijau, digital

Lapan perjanjian dipertukar semasa lawatan Perdana Menteri China ke S’pura
Oct 25, 2025 | 8:41 PM
Perdana Menteri China, Li Qiang, Singapura, Lawrence Wong, MOU
Perdana Menteri China, Encik Li Qiang dan Perdana Menteri Lawrence Wong, berjabat tangan selepas menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MOU) antara wakil kededua negara di Bangunan Parlimen pada 25 Oktober. - Foto ST

Singapura dan China bersetuju untuk bekerjasama bagi mengurangkan pengeluaran karbon dan mendigitalkan laluan perkapalan antara kedua-dua negara, dengan penubuhan koridor perkapalan hijau dan digital.

Memorandum Persefahaman (MOU) berkaitan koridor perkapalan itu merupakan salah satu daripada lapan perjanjian yang dipertukarkan pada 25 Oktober semasa lawatan rasmi Perdana Menteri China, Encik Li Qiang, sedang Singapura dan China berikrar untuk memperdalam kerjasama dan hubungan dua hala.

Encik Li, yang melawat Singapura buat kali pertama atas jemputan Perdana Menteri Lawrence Wong, disambut barisan kehormat di Bangunan Parlimen, lapor The Straits Times.

Dalam ucapan pembukaannya semasa pertemuan antara kedua-dua delegasi, Encik Wong berkata: “Kami ingin melihat bagaimana kami dapat memperdalam kerjasama dengan lebih lanjut untuk menegakkan prinsip-prinsip utama perdagangan bebas dan aturan pelbagai hala berasaskan peraturan.”

Encik Li berkata beliau berharap dapat memperdalam lagi hubungan China-Singapura semasa lawatannya ke sini, yang pertama oleh Perdana Menteri China sejak 2018.

“Kerjasama pragmatik akan lebih baik untuk pemodenan kedua-dua negara kita dan memberikan sumbangan yang lebih besar kepada pembangunan rantau kita yang aman dan stabil.

“Saya bersedia untuk bertukar-tukar pandangan secara sepenuhnya dan berterus terang dengan Perdana Menteri mengenai isu-isu yang menjadi perhatian bersama,” tambah Encik Li.

Koridor perkapalan nasional yang dirancang antara Singapura dengan China merupakan peningkatan daripada pengaturan semasa antara Republik ini dengan perbandaran Tianjin, serta di wilayah Shandong, untuk menguji huraian digital dan bahan api alternatif di laluan perkapalan.

Tianjin mempunyai pelabuhan terbesar di utara China, manakala Shandong merupakan wilayah kedua yang mempunyai paling ramai penduduk di China dan salah satu pelabuhan kontena paling sibuk di dunia di Qingdao.

Langkah ini akan memperluas rangkaian global “koridor perkapalan hijau dan digital”, dengan negara ini mempunyai enam koridor seperti itu hari ini.

Selain koridor dengan Tianjin dan Shandong, Singapura mempunyai koridor perkapalan yang serupa dengan pelabuhan di Los Angeles dan Long Beach di Amerika Syarikat, serta pelabuhan Rotterdam di Belanda.

Di peringkat nasional, Republik ini juga mempunyai koridor perkapalan hijau dan digital dengan Jepun serta Australia dan baru-baru ini ia bersetuju pada September, untuk mewujudkan satu koridor serupa dengan India.

MOU untuk mewujudkan Koridor Perkapalan Hijau dan Digital Singapura-China telah ditandatangani pada 19 Oktober oleh Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura, Encik Jeffrey Siow dan Menteri Pengangkutan China, Encik Liu Wei.

Di bawah MOU tersebut, kedua-dua negara akan bekerjasama dengan industri maritim untuk mengurangkan pengeluaran karbon, meningkatkan kecekapan pelabuhan dan rantaian bekalan, serta membangunkan teknologi sokongan, infrastruktur dan piawaian.

Perjanjian ini memanfaatkan kekuatan China dan Singapura dalam pengilangan, ekosistem rantaian bekalan, rangka kerja kawal selia dan keupayaan kewangan.

Enam daripada 10 pelabuhan kontena terbesar di dunia dari segi jumlah terletak di China dan negara itu juga merupakan rakan dagang barangan terbesar Singapura sejak 2013, dengan jumlah perdagangan dua hala pada tahun 2024 berjumlah $170 bilion, peningkatan 1.8 peratus daripada 2023.

MOU dua hala lain yang dipertukarkan pada hari pertama Encik Li di Singapura termasuk perjanjian antara kedua-dua negara untuk bersama-sama membangunkan program latihan bagi pegawai pemerintah dari 10 negara anggota Asean serta Timor-Leste, yang tidak lama lagi akan menjadi ahli ke-11.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg