Hubungan perniagaan antara Singapura dengan India berkembang pesat dan “perkongsian semula jadi” antara kedua-dua negara akan membuka kerjasama dalam bidang baru seperti perkilangan lanjutan, digital dan kemampanan, kata Presiden Tharman Shanmugaratnam.
Bercakap kepada media selepas menerima sambutan istiadat di Istana Presiden, Rashtrapati Bhavan, pada 16 Januari, Tuan Presiden berkata kedua-dua negara sedang meneroka inisiatif baru melangkaui “hubungan sedia ada, sangat aktif” yang sudah dimiliki kedua-dua negara.
“Saya optimis dengan hubungan kita dengan India kerana pemimpin kita mempunyai pandangan yang sama... Kami adalah rakan kongsi semula jadi,” kata Tuan Presiden.
Tuan Presiden kini sedang mengadakan lawatan negara ke India dari 14 hingga 18 Januari, di mana beliau bertemu Presiden India, Cik Droupadi Murmu, dan Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, antara lain.
Lawatan Tuan Presiden, yang juga merupakan yang pertama sejak beliau dilantik sebagai Presiden Singapura pada September 2023, berlangsung sewaktu kedua-dua negara memperingati ulang tahun ke-60 terjalinnya hubungan diplomatik.
Tuan Presiden berkata Singapura mengalu-alukan Viksit Bharat @ 2047 India, peta jalan yang bertujuan memastikan India muncul sebagai “negara maju” menjelang 2047 – 100 tahun selepas kemerdekaannya.
Beberapa kerjasama sedang diusahakan, seperti program latihan bersama untuk menyediakan kemahiran industri dalam warga muda India, dan inisiatif untuk memperdalam perkongsian negara dalam tenaga hijau.
Singapura sedang membantu membina ekosistem semikonduktor India dan berusaha membangunkan taman perindustrian generasi baru yang sifar bersih.
Dalam ucapannya di jamuan negara yang dihoskan oleh Presiden Murmu, Tuan Presiden berkata Singapura sedang meneroka membina koridor data dengan hab kewangan Gujarat, Gift City, yang akan membolehkan institusi kewangan bertukar data secara selamat dan dipercayai.
“Kemampanan adalah keutamaan utama India dan Singapura, dan di sana juga, kami sedang berusaha secara aktif untuk meneroka koridor tenaga boleh diperbaharui.
“Singapura telah menjadi pelabur asing terkemuka di India selama beberapa tahun dan kami kini komited untuk melabur dan mengambil bahagian dalam rancangan bercita-cita tinggi India untuk masa depan,” kata Tuan Presiden.
Berikutan lawatannya ke New Delhi, Tuan Presiden dan delegasi dari Singapura – termasuk pemimpin perniagaan Singapura – akan melawat wilayah Odisha di timur India pada 17 dan 18 Januari untuk meneroka peluang perniagaan dan ekonomi di negeri itu.
Pada 16 Januari, Tuan Presiden turut melawat tugu peringatan Raj Ghat untuk meletakkan kalungan bunga sebagai penghormatan kepada wira kemerdekaan, Mahatma Gandhi.
Beliau juga mengadakan pertemuan dengan Encik Modi, dan pertemuan dengan beberapa menteri lain, termasuk Menteri Kewangan, Cik Nirmala Sitharaman; Menteri Perdagangan, Encik Piyush Goyal; dan Menteri Pengangkutan Jalan Raya dan Lebuhraya, Encik Nitin Gadkari.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg