Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

BERITA

Puluhan penunjuk perasaan di Myanmar ditembak mati pasukan keselamatan

Korban berlaku sedang ketua junta berkata akan lindungi rakyat, kembalikan keamanan sempena Hari Angkatan Tentera
Mar 28, 2021 | 05:30 AM



NAYPYIDAW: Sehingga 50 mangsa terkorban setelah pasukan keselamatan Myanmar melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan semalam, menurut laporan berita, sedang pemimpin junta mengatakan tentera akan melindungi rakyat dan memperjuangkan demokrasi.



Penunjuk perasaan yang menentang rampasan kuasa tentera pada 1 Februari keluar di jalan-jalan di Yangon, Mandalay dan bandar-bandar lain, mengabaikan amaran bahawa mereka boleh ditembak "di kepala dan belakang" ketika para jeneral negara itu menyambut Hari Angkatan Tentera.



Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh ketika pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang melakukan bantahan di luar balai polis di pinggir bandar Dala di Yangon pada awal pagi semalam, lapor Myanmar Now.



Sekurang-kurangnya 10 orang cedera, kata portal berita itu.



Tiga orang, termasuk seorang pemain sebuah pasukan bola sepak bawah 21 tahun tempatan, ditembak dan terbunuh dalam tunjuk perasaan di daerah Insein di bandar itu, kata seorang jiran kepada Reuters.



Empat orang terbunuh di bandar Lashio di timur, dan empat dalam kejadian berasingan di wilayah Bago, dekat Yangon, menurut media. Satu orang terbunuh di bandar Hopin di timur laut.



Selepas merasmikan satu perbarisan tentera sempena Hari Angkatan Tentera di ibu negara Naypyitaw, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing mengulangi janjinya akan mengadakan pilihan raya, namun beliau tidak memberi tempoh masa ia akan diadakan.



"Tentera ingin bekerjasama dengan seluruh negara bagi melindungi demokrasi," kata beliau dalam satu siaran secara langsung di televisyen nasional, sambil menambah bahawa pihak berkuasa juga akan melindungi rakyat dan mengembalikan keamanan di seluruh negara itu.



"Tindakan ganas yang menjejas kestabilan dan keamanan bagi membuat tuntutan adalah tidak sesuai," katanya.



Kelmarin, tentera membunuh empat lagi orang semasa tunjuk perasaan, menjadikan kematian berjumlah 328 orang dalam tindakan keras yang dilakukan setelah rampasan kuasa menentang pemerintah dipilih Canselor Aung San Suu Kyi pada 1 Februari lalu.



Dalam satu amaran mengerikan malam kelmarin, televisyen pemerintah mengatakan: "Anda harus belajar daripada tragedi kematian jelek sebelumnya bahawa anda berada dalam bahaya ditembak di kepala dan belakang."



Amaran itu tidak secara khusus mengatakan bahawa pasukan keselamatan telah diberi perintah tembak mati, dan junta sebelum ini cuba menunjukkan bahawa beberapa kes tembakan maut dilakukan di kalangan kumpulan penunjuk perasaan sendiri.



Amaran itu menunjukkan tekad tentera mahu mencegah sembarang gangguan sewaktu Hari Angkatan Tentera, yang memperingati permulaan penentangan terhadap penjajahan Jepun pada 1945 yang diatur oleh bapa Cik Suu Kyi, yang juga pengasas tentera.



Encik Aung San, yang dianggap sebagai bapa negara, dibunuh pada 1947.



Aktivis antikudeta menyeru diadakan satu tunjuk perasaan baru semalam ketika tentera mengadakan perbarisan yang biasanya melibatkan pasukan tentera dan perisai, termasuk kereta kebal, jet dan peluru berpandu, berarak di hadapan ketua tentera - kini ketua junta - Jeneral Min Aung Hlaing.



Ramai khuatir ia boleh menjadi titik permulaan pergolakan lebih besar.



Cik Suu Kyi masih dalam tahanan di lokasi yang tidak didedahkan. Banyak tokoh lain dalam partinya juga ditahan.



Jeneral Min Aung Hlaing berkata tentera harus merampas kuasa kerana "tindakan menyalahi undang-undang" oleh Cik Suu Kyi dan parti Liga Nasional untuk Demokrasi (NLD) pimpinannya.



Beliau mendakwa beberapa pemimpin NLD didapati bersalah melakukan rasuah dan tindakan undang-undang sedang diambil terhadap mereka. - Reuters, AFP.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >