PARIS: Puluhan ribu penunjuk perasaan dijangka membanjiri jalan raya Paris pada Selasa (6 Oktober) apabila kesatuan sekerja utama Perancis menyertai pelajar sekolah menengah dalam gelombang bantahan menuntut keadaan pembelajaran lebih baik yang sejak beberapa minggu lalu dicemari pertempuran dengan polis.

Pihak berkuasa menjangkakan antara 20,000 dengan 40,000 orang menyertai tunjuk perasaan di Paris, manakala bantahan turut dirancang di beberapa bandar lain di seluruh Perancis.

Gerakan itu bermula pada 17 September di sebuah sekolah menengah di Creteil, pinggir Paris, sebagai tanda sokongan kepada guru yang melancarkan mogok kerana kekurangan kakitangan dan sumber.

Ia kemudian berkembang ke seluruh negara apabila pelajar mula menyekat pintu masuk ratusan sekolah menengah atau lycee, yang kebanyakannya menempatkan pelajar berusia antara 15 dengan 17 tahun.

Pelajar mengadu mengenai kekurangan guru, jadual pembelajaran yang terlalu padat, bilik darjah dan bangunan sekolah yang uzur serta kemudahan yang tidak sesuai menghadapi suhu semakin panas.

Pada 5 Oktober, pembelajaran terjejas di 589 daripada kira-kira 3,700 sekolah menengah di Perancis, selain 32 universiti, menurut Kementerian Pendidikan dan sebuah kesatuan pelajar.

Bantahan lebih besar yang digelar “Act III” oleh sebuah kesatuan pelajar sekolah menengah dijadualkan pada 6 oktober, ketika seruan di media sosial turut menggesa pelajar melancarkan “minggu hitam” bantahan.

Walaupun kebanyakan tunjuk perasaan berlangsung secara aman, sebahagiannya bertukar ganas apabila penunjuk perasaan membakar tong sampah dan perhentian bas serta bertempur dengan polis antirusuhan.

Polis bertindak menggunakan belantan, gas pemedih mata dan peluru kawalan rusuhan.

Ketegangan meningkat pada 5 Oktober apabila seorang pelajar berusia 15 tahun kehilangan sebelah tangan selepas mengambil bom tangan jenis sting-ball yang dilepaskan polis antirusuhan di bandar Lens, utara Perancis.

Bom tangan itu meletup ketika berada di tangannya.

Remaja berkenaan dibawa ke hospital di Lille dan kini dilaporkan tidak lagi berada dalam keadaan yang mengancam nyawa, menurut Ketua Pentadbiran wilayah Pas-de-Calais, Encik Francois-Xavier Lauch.

Dalam satu lagi kejadian, seorang penunjuk perasaan berusia 16 tahun yang cedera parah di kepala ketika bantahan di bandar Tours minggu lalu kehilangan penglihatan sebelah mata.

Pemerintah berkata 215 pelajar dan 715 anggota polis cedera sejak bantahan bermula, manakala 85 kakitangan sekolah turut mengalami kecederaan.

Lebih 5,000 orang telah ditahan, dengan 87 peratus daripada mereka merupakan individu bawah umur.

Menteri Pendidikan pula berkata 24 sekolah dibakar atau dirosakkan sejak gerakan bantahan bermula.

Dakwaan bahawa polis menggunakan kekerasan berlebihan terhadap penunjuk perasaan turut mencetuskan kontroversi, terutama kerana sebahagian besar peserta merupakan remaja bawah umur.

Liga Hak Asasi Manusia Perancis (LDH) menuduh pasukan keselamatan menggunakan tindakan tidak seimbang dalam menangani bantahan.

Menteri Dalam Negeri, Encik Laurent Nunez, berkata 10 siasatan dalaman telah dibuka berhubung dakwaan kekerasan polis sejak tunjuk perasaan bermula.

Kesatuan sekerja utama kini turut menyertai gerakan itu.

Ketua kesatuan CGT, Cik Sophie Binet, berkata anggotanya akan turun ke jalan raya bagi “melindungi pelajar sekolah menengah”.

Pejabat Perdana Menteri Sebastien Lecornu pula menggesa tunjuk perasaan diadakan secara aman dan meminta bantahan dikembalikan kepada “bentuk penentangan yang tersusun, sah dan demokratik”.

Pemerintah cuba menangani beberapa tuntutan pelajar, termasuk masalah guru tidak hadir untuk tempoh panjang, kekosongan jawatan serta keadaan bangunan sekolah yang uzur.

Encik Lecornu turut mengadakan perbincangan dengan pemimpin wilayah mengenai usaha membaik pulih bangunan sekolah.

Namun, kemarahan dalam kalangan pelajar dilihat lebih mendalam daripada isu kekurangan guru semata-mata.

“Jelas sekali sistem pendidikan tidak berfungsi,” kata Alma, seorang pelajar di Lycee Charlemagne di tengah Paris.

Seorang lagi pelajar sekolah sama, Simon, berkata kemarahan dalam kalangan pelajar sudah lama terpendam.

“Mereka fikir hanya kerana mereka membenarkan kami bersuara menerusi satu wadah di Internet, kami akan berhenti menyekat pintu masuk dan tidak lagi marah. Tetapi kemarahan ini sudah wujud bertahun-tahun,” katanya.

Pada masa sama, pemerintah mahu memperkenalkan undang-undang bagi memastikan mereka yang merosakkan harta awam menanggung sendiri kos pembaikan, berbanding menggunakan wang awam.

Encik Lecornu berkata bayaran pampasan boleh diperoleh daripada elaun keluarga dan bantuan perumahan, sambil memastikan keluarga terbabit masih mempunyai pendapatan minimum.

Namun, Cik Binet memberi amaran langkah itu akhirnya akan “menyasarkan keluarga paling terdedah”.

Jurucakap pemerintah, Cik Maud Bregeon, mempertahankan cadangan tersebut dengan berkata perbuatan remaja membakar kemudahan awam dan sekolah turut menimbulkan persoalan mengenai tanggungjawab ibu bapa.

Gelombang bantahan itu muncul hanya beberapa bulan menjelang pilihan raya presiden 2027 untuk memilih pengganti Presiden Emmanuel Macron, yang tidak boleh bertanding lagi selepas melengkapkan tempoh maksimum dua penggal.

Ketika tekanan politik semakin meningkat, pemerintah turut menuduh aktivis berhaluan kiri keras mengambil kesempatan terhadap rasa tidak puas hati pelajar untuk menguasai gerakan tersebut.

Namun, dengan kesatuan sekerja kini menyertai pelajar di jalan raya, bantahan yang bermula sebagai pertikaian mengenai keadaan sekolah semakin berkembang menjadi cabaran lebih besar kepada pemerintah Perancis. – Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti