KAHIRAH: Tembakan dan serangan udara Israel membunuh sekurang-kurangnya 60 rakyat Palestin di Gaza pada 11 Jun, kebanyakan mereka di pusat agihan bantuan kelolaan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang disokong Amerika Syarikat, di tengah wilayah pantai itu.
Pegawai perubatan di Hospital Shifa dan Al-Quds berkata sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh dan berpuluh-puluh cedera akibat tembakan tentara Israel ketika mereka menghampiri tempat agihan bantuan berhampiran bekas penempatan Netzarim.
Angkatan Pertahanan Israel (IDF) berkata tenteranya melepaskan tembakan amaran ke arah mereka yang sedang mara sambil mengancam tentera di kawasan Koridor Netzarim.
“Ini di sebalik diberi amaran bahawa kawasan itu adalah zon tempur yang aktif,” kata IDF.
Pegawai kesihatan di Hospital Nasser di Khan Younis di selatan Gaza pada 11 Jun berkata sekurang-kurangnya enam orang terbunuh akibat tembakan Israel ketika mereka menghampiri satu lagi pusat agihan GHF di Rafah, selatan Gaza.
Seramai 163 orang terbunuh dan lebih 1,000 cedera ketika mereka cuba menghampiri pusat agihan bantuan GHF sejak ia mula beroperasi dua minggu lalu selepas sekatan Israel sekitar tiga bulan, kata Kementerian Kesihatan Gaza.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengutuk pembunuhan tersebut.
Ia berkata sekatan membawa kawasan Palestin ke ambang kebuluran dan bekalan makanan kekal kritikal.
Yayasan itu berkata sebelum ini bahawa ia tidak menyedari kejadian pada 11 Jun tetapi ia bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Israel untuk memastikan laluan selamat dikekalkan dan rakyat Palestin mematuhi arahan dengan teliti.
“Penyelesaiannya adalah lebih banyak bantuan, yang akan mewujudkan lebih kepastian dan kurang mendesak dalam kalangan penduduk,” kata yayasan itu.
“Makanan masih belum mencukupi untuk menyara semua orang yang memerlukan di Gaza.
“Tumpuan kami sekarang ialah memberi makan kepada seramai mungkin orang dalam kekangan persekitaran yang sangat tidak menentu,” tambah GHF
PBB dan kumpulan bantuan lain enggan membekalkan bantuan melalui yayasan itu, yang menggunakan kontraktor swasta dengan sokongan tentera Israel dalam apa yang mereka sifatkan sebagai pelanggaran piawaian kemanusiaan.
Pegawai Kesihatan Gaza berkata 10 orang lagi terbunuh dalam serangan udara Israel di Khan Younis di selatan wilayah itu.
Di sebalik usaha oleh Amerika, Mesir, dan Qatar untuk memulihkan gencatan senjata di Gaza, Israel dan Hamas menyalahkan satu sama lain atas kegagalan mencapai perjanjian. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg