TEL AVIV: Puluhan tokoh kanan politik, keselamatan dan budaya Israel mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemerintahan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berhubung dakwaan menyokong “keganasan Yahudi” dan ideologi “pembersihan etnik” terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki.

Menurut laporan akhbar The Guardian, ancaman itu terkandung dalam satu surat sulit yang bocor kepada media dan ditandatangani dua mantan perdana menteri Israel, mantan ketua agensi keselamatan, hakim, tokoh akademik serta penggiat budaya terkenal negara itu.

Surat berkenaan disifatkan sebagai “amaran terakhir” kepada pemerintah Israel supaya menghentikan segera keganasan terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat.

Penandatangan surat itu mendakwa keganasan berkenaan melibatkan pembunuhan, serangan seksual, pembakaran, rompakan serta pencemaran mayat yang dilakukan penduduk haram Yahudi dan anggota keselamatan, dengan pelaku didakwa menikmati “hampir sepenuhnya kekebalan daripada tindakan undang-undang”.

“Surat ini adalah amaran terakhir dan peringatan serius. Kami menuntut semua langkah segera diambil bagi membanteras keganasan Yahudi yang semakin berleluasa di Judea dan Samaria sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” menurut kandungan surat itu, merujuk istilah Israel bagi Tebing Barat yang diduduki.

Mereka turut memberi amaran bahawa keganasan terhadap rakyat Palestin bukan sahaja melanggar undang-undang Israel dan antarabangsa, malah mengancam keselamatan Israel sendiri serta meningkatkan pengasingan negara itu di peringkat antarabangsa.

Surat itu juga mendakwa tindakan pemerintah Israel menyumbang kepada peningkatan antisemitisme di seluruh dunia.

Penandatangan surat berkenaan termasuk mantan perdana menteri Encik Ehud Olmert dan Encik Ehud Barak, selain lebih 30 mantan komander keselamatan termasuk mantan ketua Mossad, Shin Bet dan polis Israel.

Turut menandatangani surat itu ialah novelis terkenal Israel, Encik David Grossman, pemenang Hadiah Nobel Kimia David Kornberg, pemenang Oscar serta beberapa penerima Anugerah Israel.

Tokoh sistem kehakiman termasuk bekas peguam negara, hakim dan penasihat undang-undang kanan kerajaan turut menyertai gesaan berkenaan.

Surat itu dihantar kepada pejabat perdana menteri, kementerian pertahanan dan keselamatan negara, tentera, polis serta agensi perisikan Israel.

Bagaimanapun, sehingga kini pemerintah Israel belum memberi sebarang maklum balas rasmi terhadap kandungan surat tersebut.

Penandatangan surat mendakwa pemerintah Encik Netanyahu dan sekutu kanan berhaluan kanan dalam kabinet secara langsung membenarkan serangan terhadap rakyat Palestin demi melaksanakan agenda peluasan penempatan haram dan pengilhakan Tebing Barat.

“Ini bukan sekadar kegagalan tentera dan polis, tetapi pelaksanaan dasar jelas oleh pemerintah Israel dan perdana menteri sendiri,” menurut surat itu.

“Mereka mengarahkan tentera, polis dan Shin Bet membiarkan keganasan penjenayah Yahudi berlaku kerana fenomena mengerikan ini membantu ideologi pemerintah sekarang untuk melaksanakan ‘pembersihan etnik’ di Judea dan Samaria bagi memudahkan pengilhakan pada masa depan.”

Surat itu turut membandingkan serangan pendatang haram Yahudi terhadap rakyat Palestin dengan pogrom dan serangan terhadap masyarakat Yahudi di Eropah Timur pada abad ke-19 dan ke-20.

“Jenayah keganasan Yahudi di wilayah ini mengingatkan kami kepada pogrom dan serangan yang pernah dilakukan terhadap bangsa Yahudi di Eropah Timur,” katanya.

Menurut mereka, tentera Israel juga didakwa bersubahat dalam keganasan itu sama ada melalui kegagalan campur tangan atau penglibatan secara langsung.

Mereka mendakwa ada anggota unit pertahanan penempatan haram serta anggota bersenjata yang menerima senjata daripada tentera Israel terlibat dalam serangan terhadap rakyat Palestin.

Data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan sekurang-kurangnya 1,100 orang awam Palestin terbunuh di Tebing Barat sejak 2020 akibat tindakan tentera Israel dan pendatang haram Yahudi.

Sekurang-kurangnya satu perempat daripada mangsa yang terbunuh ialah kanak-kanak.

Menurut surat itu, tiada seorang pun didakwa berhubung kebanyakan kematian tersebut.

Kumpulan itu turut memberi amaran bahawa keganasan berterusan terhadap rakyat Palestin boleh mencetuskan serangan balas atau kebangkitan baharu rakyat Palestin terhadap pendudukan Israel.

Peguam Israel, Encik Shmuel Berkowitz, yang menyusun surat berkenaan berkata ini kali pertama kumpulan besar tokoh elit Israel mengaitkan keganasan itu secara langsung dengan tentera dan peneroka Yahudi sambil mengancam mengambil tindakan mahkamah.

Surat itu turut mempersoalkan kenyataan Encik Netanyahu tahun lalu yang mendakwa keganasan pendatang haram hanya dilakukan “beberapa remaja”.

“Dakwaan itu langsung tidak berasaskan realiti,” menurut surat berkenaan.

Beberapa pegawai kanan lain turut disebut dalam surat itu termasuk Menteri Keselamatan Negara berhaluan kanan Encik Itamar Ben-Gvir; Menteri Pertahanan Encik Israel Katz; Ketua Turus Tentera Encik Eyal Zamir, ketua Shin Bet Encik David Zini dan Ketua Polis Israel Encik Daniel Levy.

Surat itu menegaskan kecaman lisan terhadap keganasan peneroka tidak lagi mencukupi tanpa tindakan konkrit.

“Bagaimana anda masih gagal menghapuskan keganasan Yahudi sedangkan identiti pemimpin mereka dan tempat tinggal mereka diketahui umum?” menurut satu bahagian surat yang ditujukan kepada komander tentera Israel di Tebing Barat, Avi Bluth.

Penandatangan surat mendakwa budaya kebal undang-undang semakin menebal apabila polis dan tentera Israel saling menuding jari mengenai bidang kuasa untuk mendakwa penyerang.

Mereka turut memberi amaran bahawa sokongan politik, kewangan dan keselamatan terhadap keganasan peneroka boleh terus memburukkan imej Israel di mata dunia. – Agensi berita.