Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Putera Harry jumpa Raja Charles III selepas 19 bulan

Sep 11, 2025 | 11:57 AM
prince harry
Putera Britain, Putera Harry dilihat meninggalkan Rumah Clarence di London pada 10 September. - Foto AFP

LONDON: Putera Harry akhirnya bertemu semula dengan bapanya, Raja Charles III, di kediaman Rumah Clarence pada 10 September, menamatkan tempoh renggang selama 19 bulan yang penuh dengan ketegangan dan spekulasi.

Pertemuan bersejarah itu berlaku selepas Putera Harry menyuarakan hasrat berdamai awal 2025.

Menurut sumber istana, pertemuan itu berlangsung secara peribadi sambil minum petang kali pertama mereka bertentang mata sejak Februari 2024.

Putera Harry dilihat memasuki pintu pagar Rumah Clarence menaiki sebuah Range Rover hitam pada 5.20 petang waktu tempatan.

Kurang sejam kemudian, beliau beredar.

Walaupun singkat, pertemuan itu disifatkan sebagai langkah penting ke arah merapatkan kembali hubungan keluarga yang retak.

“Ya, beliau sihat, terima kasih,” jawab Putera Harry kepada wartawan apabila ditanya mengenai keadaan Raja Charles selepas pertemuan itu, menurut PA Media.

Sebelum itu, Putera Harry, 40 tahun, sempat melawat Pusat Penyelidikan Kecederaan Letupan Imperial College London dan mengumumkan sumbangan AS$500,000 ($642,000) untuk membantu kanak-kanak yang tercedera akibat konflik di Gaza dan Ukraine.

Raja Charles yang kini masih menjalani rawatan barah baru sahaja pulang dari kediamannya di Balmoral, Scotland.

Beliau sempat melaksanakan beberapa tugas rasmi pada 10 September termasuk bertemu pemimpin Australia Selatan, Encik Peter Malinauskas, sebelum meluangkan masa bersama anak lelakinya.

Kali terakhir Raja Charles dan Putera Harry bertemu ialah pada Februari 2024, ketika Putera Harry bergegas pulang selepas pengumuman mengejut mengenai diagnosis barah ayahandanya.

Pertemuan itu hanya berlangsung sekitar 30 minit.

Walaupun masih terlalu awal untuk mengesahkan sama ada keretakan hubungan diraja ini benar-benar pulih, pemerhati melihat perkembangan ini sebagai isyarat positif.

Pada Julai lalu, pegawai kanan daripada kedua-dua pihak dilaporkan bertemu di London, menandakan pintu komunikasi kembali dibuka.

Seorang sumber diraja berkata: “Ada kesungguhan di kedua-dua belah pihak untuk membina semula jambatan yang telah runtuh. Pertemuan ini, walaupun ringkas, membawa makna besar.”

Namun, hubungan Harry dengan abangnya, Putera William, masih dingin.

Kedua-dua mereka berada di Windsor pada 8 September ketika Putera Harry menziarahi pusara neneknya, Ratu Elizabeth II, manakala Putera William menghadiri acara peringatan tetapi mereka tidak bertemu.

Sejak berpindah ke California bersama isterinya, Cik Meghan Markle, pada 2020, Putera Harry sering melontarkan kritikan terhadap keluarga diraja, termasuk melalui wawancara bersama Oprah Winfrey pada 2021 serta memoirnya Spare yang sarat dengan pendedahan kontroversi.

Dalam memoir itu, Putera Harry mendakwa pernah diserang secara fizikal oleh Putera William dalam satu pertengkaran.

Dalam wawancara bersama BBC pada Mei, Putera Harry mengakui: “Saya mahu berdamai kerana saya tidak tahu berapa lama lagi saya mempunyai masa bersama ayah saya.”

Namun, beliau juga menambah: “Ada ahli keluarga yang tidak akan pernah memaafkan saya kerana buku itu. Mereka tidak akan memaafkan saya atas banyak perkara.”

Sepanjang lawatannya ke Britain minggu ini, Putera Harry aktif menghadiri pelbagai program amal.

Selain sumbangan besar untuk kanak-kanak Gaza dan Ukraine, beliau juga menghadiri majlis Anugerah WellChild sebagai penaung badan amal yang menyokong kanak-kanak sakit tenat, serta mengumumkan derma £1.1 juta ($1.91 juta) untuk membantu belia yang terkesan dengan keganasan di Nottingham.

“Gaza kini mempunyai kepadatan tertinggi kanak-kanak yang kehilangan anggota badan dalam sejarah moden. Tiada satu organisasi pun mampu selesaikan masalah ini seorang diri. Kita perlukan kerjasama pelbagai pihak,” kata Putera Harry dalam satu kenyataan.

Pada 11 September Khamis, beliau dijadualkan menghadiri satu lagi acara amal bersama The Diana Award sebelum pulang ke Amerika Syarikat.

Setakat ini, Istana Buckingham tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai pertemuan antara Raja Charles dengan Putera Harry.

Bagaimanapun, pemerhati diraja melihat sikap membisu itu sebagai strategi untuk mengelakkan spekulasi berlebihan.

Seorang penganalisis diraja yang dipetik AFP berkata: “Pertemuan ini adalah simbolik. Walaupun hanya sejam, ia menunjukkan bahawa pintu masih terbuka. Keluarga diraja mungkin bergerak perlahan, tetapi mereka tahu bahawa dunia sedang memerhati.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg