Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Putera Mahkota Saudi tebus pengaruh dalam lawatan ke Rumah Putih sejak krisis Khashoggi

Nov 18, 2025 | 2:01 PM
Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Bin Salman (kanan) menyambut kehadiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di Riyadh pada 13 Mei.
Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Bin Salman (kanan) menyambut kehadiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di Riyadh pada 13 Mei. - Foto REUTERS

DUBAI: Dalam lawatan pertamanya ke Rumah Putih sejak pembunuhan pengkritik Arab Saudi, encik Jamal Khashoggi yang mencetus kemarahan sejagat, Putera Mahkota Mohammed bin Salman sedang dalam misi untuk menebus semula tempatnya di pentas dunia dan membuktikan kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bahawa menyokong kepimpinannya yang tegas adalah berbaloi.

Pertemuan pada 18 November antara Encik Trump dengan kerajaan de facto Arab Saudi – yang dikenali ramai sebagai MBS – menggariskan hubungan yang dibina atas kepentingan strategik di sebalik kekecohan sekitar pembunuhan Encik Khashoggi pada 2018.

Tujuh tahun kemudian, Putera Mahkota Salman kini menjadikan dirinya sebagai broker keamanan, memperbaiki hubungan dengan Iran, mendesak gencatan senjata Gaza, dan mengalu-alukan Syria kembali ke pangkuan Arab, satu tonggak yang menarik daripada seorang putera yang pernah dilabel kerana terlibat dalam perang di Yaman.

Sebagai seorang reformis dan autokrat, beliau muncul sebagai pemimpin paling penting dan berani dalam sejarah moden kerajaan Saudi – memacu transformasi dan membentuk masa depannya.

Hanya dalam masa kurang sedekad, beliau telah melancarkan revolusi sosial yang tidak kelihatan sejak datuknya, Raja Abdulaziz, membentuk kerajaan daripada puak-puak gurun dan memeterai pakatan pentingnya dengan Washington.

Putera itu telah melucutkan kuasa polis agama yang pernah ditakuti, mengetepikan ulama, dan menghapuskan kod sosial yang keras selama beberapa dekad.

Wanita kini boleh memandu, bekerja dan bergaul bebas dengan lelaki – kebebasan yang pernah dahulu dihukum dengan sebat.

Bintang pop dan pertunjukan fesyen kini mewarnai Riyadh, membentuk semula imej Arab Saudi sebagai sebuah negara yang menuju ke arah kemodenan.

Jennifer Lopez dan Camila Cabello menggegarkan pentas Riyadh baru-baru ini dengan Lopez berpakaian ketat dan berkilauan, manakala Cabello dalam gaun nipis.

Model Elie Saab pula memperagakan dirinya di depan penonton, termasuk ikon Hollywood Halle Berry dan Monica Bellucci.

Tetapi tangan yang membuka masyarakat Arab Saudi itu juga telah memperketatkan cengkamannya terhadap kuasa.

Perbezaan pendapat telah dihancurkan, pengkritik dibungkam, dan pusat kuasa saingan dikurung dan dihapuskan.

Mesejnya tidak dapat disangkal: pembaharuan hanya berlaku mengikut syarat yang beliau tetapkan dan kesetiaan kepadanya adalah harga mati.

Di peringkat sejagat, pemimpin pengeksport minyak utama itu telah muncul tanpa rasa bersalah daripada pembunuhan Encik Khashoggi oleh ejen Saudi.

Beliau telah menafikan mengarahkannya, tetapi mengakui tanggungjawab sebagai kerajaan de facto.

Kepulangan Encik Trump ke Rumah Putih pada 2025 menghidupkan semula hubungan dengan ikrar pelaburan Saudi sebanyak AS$600 bilion ($782 bilion) dan jalinan pakatan pertahanan.

Presiden Institut Negara-negara Teluk Arab di Washington, Encik Douglas A. Silliman berkata: “Khashoggi tidak dilupakan sepenuhnya.

“Tetapi haruskah hubungan antara dua negara penting hanya berdasarkan satu insiden, atau adakah anda perlu mengambil kira kepentingan Amerika atau Arab Saudi yang lebih besar pada masa hadapan?”

Apabila Putera Mahkota Salman mendarat di Washington, beliau akan disambut dengan kemegahan yang biasanya dikhaskan untuk bakal raja.

“Ini akan menjadi (detik) prapertabalan,” kata Encik Steve Clemons, seorang penganalisis Washington, memberi isyarat bahawa masa depan kerajaan Saudi kini milik putera mudanya.

Dr Paul Salem dari Institut Timur Tengah menyatakan bahawa meskipun dipalit krisis masa lalu – termasuk serangan 11 September 2001, ketika 15 perampas adalah rakyat Saudi – Amerika dan Arab Saudi tetap terikat dengan kepentingan bersama dalam tenaga, pertahanan, dan kini kecerdasan buatan (AI). – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg