WASHINGTON: Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman akan berada di Rumah Putih pada 18 November untuk lawatan kerja rasmi bersama Presiden Amerika Syarikat Encik Donald Trump, kata seorang pegawai Rumah Putih pada 3 November.
Ia akan menjadi lawatan pertama oleh MBS, singkatan untuk pemimpin de facto Arab Saudi yang berusia 40 tahun itu, ke Amerika sejak 2018.
Bloomberg sebelum ini melaporkan bahawa beliau merancang untuk melawat Amerika pada bulan November.
Lawatan itu dibuat ketika Encik Trump mendesak Arab Saudi supaya menyertai senarai negara yang telah menyertai Perjanjian Abraham.
Pada 2020, Encik Trump mencapai perjanjian dengan Amiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Sudan dan Maghribi untuk menormalkan hubungan dengan Israel.
Saudi teragak-agak untuk menyertainya kerana ketiadaan langkah konkrit ke arah kenegaraan Palestin.
Encik Trump memberitahu rancangan 60 Minutes di CBS dalam satu temu bual yang disiarkan pada 2 November bahawa beliau percaya rakyat Saudi akhirnya akan bersetuju menyertai perjanjian tersebut.
Encik Trump dan Putera Mohammed juga mungkin membincangkan perjanjian pertahanan Amerika-Saudi.
The Financial Times melaporkan dua minggu lalu bahawa terdapat harapan kedua-dua negara dapat menandatangani perjanjian sedemikian semasa lawatan Putera Mohammed.
Seorang pegawai kanan pentadbiran Encik Trump berkata “terdapat perbincangan tentang menandatangani sesuatu apabila putera mahkota tiba, tetapi butirannya masih belum jelas”.
Satu sumber menyatakan normaliti dengan Israel dijangka dibincangkan, walaupun ia tidak mungkin berlaku dan perjanjian perniagaan dan pertahanan tidak akan bergantung kepadanya.
Arab Saudi telah mendapatkan jaminan rasmi Amerika untuk mempertahankan kerajaan serta akses kepada persenjataan Amerika yang lebih canggih.
Negara itu merupakan salah satu pelanggan terbesar bagi senjata Amerika dan kedua-dua negara telah mengekalkan hubungan yang kukuh selama beberapa dekad berdasarkan perjanjian yang menetapkan kerajaan Saudi menghantar minyak manakala Washington menyediakan jaminan keselamatan.
Semasa lawatan Encik Trump ke Riyadh pada Mei, Amerika bersetuju untuk menjual pakej senjata bernilai hampir AS$142 bilion ($185.48 bilion) kepada Arab Saudi. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg