Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sambutan gemilang bagi Trump cerminan keakraban diplomatik Saudi

Didorong diplomasi baru apabila protokol diganti persefahaman peribadi; dasar luar dibentuk berdasar minat bersama
May 19, 2025 | 5:30 AM
donald trump, mohammed bin Salman
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, sejurus ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid, Riyadh, Arab Saudi, pada 13 Mei. - Foto REUTERS

RIYADH: Ketibaan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, di Riyadh pada 13 Mei 2025 disambut dengan penuh gemilang sambutan diraja menggambarkan bukan sekadar satu lawatan kenegaraan, malah ia sarat dengan mesej politik dan ekonomi.

Daripada permaidani ungu muda lavender yang menyambut ketibaannya, ke iringan pesawat oleh jet pejuang F-15, sehinggalah majlis makan malam diraja dan lawatan ke tapak pembangunan hartanah berbilion dolar.

Semua itu menunjukkan betapa Arab Saudi, khususnya Putera Mahkota Mohammed bin Salman (MBS), menyesuaikan sambutan mereka dengan selera dan keutamaan seorang presiden yang dikenali dengan cita rasa mewah dan kecenderungan kepada perjanjian urus niaga.

Tidak seperti kebanyakan lawatan rasmi yang disambut dengan etika diplomatik formal, kehadiran Encik Trump ke Riyadh menampilkan keakraban luar biasa.

Putera Mahkota sendiri menyambut Encik Trump di terminal khas VVIP Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid, satu layanan yang tidak diberi kepada Presiden Joe Biden pada 2022, yang hanya disambut oleh Gabenor Makkah.

Perbezaan itu tidaklah bersifat simbolik semata-mata, malah mendedahkan bagaimana hubungan peribadi antara Encik Trump dengan MBS telah membentuk corak baru hubungan dua hala yang menggabungkan kepentingan strategik dan keuntungan perniagaan.

“Saya rasa kami memang saling menyukai antara satu sama lain,” kata Encik Trump dalam nada santai semasa duduk bersebelahan MBS di pejabat eksekutif Raja Salman.

Daripada hiasan emas pada kerusi baldu biru, ke candelier gergasi yang menghiasi dewan forum pelaburan, segalanya kelihatan seolah-olah dirancang bagi memenuhi estetika Encik Trump yang sebelum ini menyamakan Amerika dengan sebuah “gedung mewah super”.

Forum Pelaburan Saudi-Amerika yang diadakan di dewan mewah istana diraja menjadi medan penting memperlihatkan jalinan ekonomi antara kedua-dua negara.

Encik Trump turut berucap di hadapan pemimpin industri pertahanan, teknologi dan hartanah.

Malah, beliau turut dipertontonkan model pembangunan mega Arab Saudi seperti ‘The Line’, bangunan pencakar langit setinggi 170 kilometer dan ‘Trojena’, sebuah bandar peranginan ski di kawasan gunung kering.

Kehadiran wakil industri Amerika serta kelibat topi merah Make America Great Again (MAGA) dalam kalangan peserta Arab menunjukkan bagaimana sempadan antara perniagaan, politik dan identiti peribadi kian kabur.

Encik Trump juga diberi penghormatan mengunjungi ‘galeri memori’ yang menampilkan sejarah hubungan Saudi-Amerika sejak 1945.

Di situ, beliau diberi peluang melihat meja hadiah Presiden Harry S. Truman kepada Raja Abdulaziz Al Saud, seakan menyatakan bahawa lawatan kali ini ialah sambungan sejarah panjang, meskipun dalam bentuk yang lebih peribadi dan berkepentingan.

Salah satu detik yang paling mencerminkan naratif kuasa dalam hubungan itu ialah apabila Putera Mahkota membawa Encik Trump melawat Diriyah, kota warisan dinasti Saud yang sedang dibangunkan menjadi projek pelancongan dan kediaman bernilai AS$60 bilion ($77.84 bilion).

Encik Trump dibawa menaiki kereta golf oleh MBS sendiri, menandakan keakraban luar biasa antara kedua-dua pemimpin.

Tapak bersejarah itu bukan sahaja menyampaikan warisan, malah memperlihatkan bagaimana Arab Saudi kini menggabungkan identiti kebangsaan dengan visi globalisasi kapitalis, satu pendekatan yang seiring dengan gaya pentadbiran Encik Trump.

Namun, yang menarik perhatian ialah penginapan Encik Trump di Ritz-Carlton Riyadh, hotel yang pernah menjadi pusat penahanan elit kerajaan semasa “pembersihan rasuah” oleh MBS pada 2017.

Hotel yang mewah di mata dunia barat, tetapi penuh sejarah ketakutan bagi lawan politik domestik, kini menjadi ruang sambutan rasmi presiden kuasa besar dunia.

Ia mencerminkan wajah diplomasi baru yang mewah, strategik dan dikawal rapi.

Lawatan itu turut mengundang perbandingan dengan lawatan Presiden Biden ke Arab Saudi, yang walaupun penting, tidak mendapat sambutan sedemikian.

Ini menunjukkan bahawa dalam pentadbiran Encik Trump, hubungan antarabangsa lebih digerakkan oleh hubungan peribadi dan keuntungan bersama, berbanding nilai sejagat seperti hak asasi manusia dan kebertanggungjawaban.

Ketika Encik Biden berdepan tekanan untuk mengekalkan prinsipnya terhadap MBS pascapembunuhan Encik Jamal Khashoggi, Encik Trump sebaliknya mendakap realiti geopolitik dengan penuh pragmatik bahkan selesa memuji dan menyanjung kepimpinan Putera Mahkota secara terbuka.

Namun, di sebalik sambutan yang gah dan senyuman diplomatik, ramai pemerhati berpendapat bahawa pendekatan sebegitu memberi risiko jangka panjang terhadap kredibiliti dasar luar Amerika.

Apabila hubungan antarabangsa menjadi terlalu bersifat peribadi dan terlalu bergantung kepada simbol kekayaan dan keakraban, dasar awam mudah terjejas oleh persepsi konflik kepentingan dan percampuran antara peranan rasmi dengan keuntungan peribadi.

Ia memperlihatkan bagaimana kuasa, kekayaan dan keperluan saling bergantung antara satu sama lain dalam konteks globalisasi moden.

Arab Saudi memahami dengan jelas siapa Encik Trump sebagai individu dan sebagai presiden iaitu seorang tokoh yang memberi keutamaan kepada gaya, simbol, dan transaksi.

Dalam dunia yang semakin dipacu oleh imej dan pelaburan, sambutan itu menandakan satu bentuk diplomasi baru apabila protokol digantikan oleh persefahaman peribadi dan dasar luar dibentuk oleh minat bersama, bukan semata-mata prinsip sejagat.

“Trump tidak sekadar disambut sebagai ketua negara, malah sebagai tetamu terhormat kepada sebuah keluarga diraja yang tahu apakah yang beliau suka, dan tahu apakah yang boleh ditawarkan untuk menjamin sokongan,” ujar seorang diplomat kanan yang mengikuti lawatan tersebut. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg