RIYADH: Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman bertemu Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, di Riyadh untuk membincangkan peningkatan konflik ketenteraan di Gaza dan rantau itu, lapor Agensi Akhbar Saudi (SPA) pada 27 Ogos.
Semasa pertemuan itu, Putera Mohammed mengesahkan lagi komitmen Arab Saudi untuk melibatkan diri dengan pihak antarabangsa dan serantau bagi membantu meredakan konflik.
Menurut SPA, beliau turut menekankan sokongan kerajaan Arab Saudi kepada rakyat Palestin dalam usaha mereka mendapatkan hak sah, kehidupan bermaruah, dan keamanan adil lagi berkekalan.
Encik Abbas merakamkan penghargaan kepada kepimpinan kerajaan Arab Saudi dan menghargai pendirian serta usaha negara itu yang sentiasa menyokong rakyat Palestin untuk mendapatkan keadilan.
Perbincangan itu turut dihadiri Menteri Pertahanan Arab Saudi, Putera Khalid bin Salman; Menteri Luar Putera Faisal bin Farhan; Ketua Perisikan Khalid bin Ali al-Humaidan; dan Duta Arab Saudi ke Jordan merangkap Duta bukan pemastautin ke Palestin, Encik Naif bin Bandar al-Sudairi.
Dari pihak Palestin, mesyuarat itu disertai Setiausaha Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin, Encik Hussein al-Sheikh; Ketua Perisikan Majid Faraj; Penasihat Diplomatik, Dr Majdi al-Khalidi; dan Duta Palestin ke Arab Saudi, Encik Bassem al-Agha.
Ia adalah lawatan kedua Encik Abbas ke Arab Saudi sejak permulaan perang antara Israel dengan Hamas di Jaluran Gaza pada 7 Oktober 2023.
Perang meletus apabila Hamas menyerang selatan Israel, membunuh lebih 1,400 orang dan menahan lebih 240 orang sebagai tebusan.
Serangan balas Israel yang berterusan hingga kini telah meragut nyawa lebih 40,400 rakyat Palestin dan memusnahkan Gaza sepenuhnya.
Wilayah Palestin itu dicengkam masalah kebuluran dek kekurangan bantuan kemanusiaan yang masuk ke Gaza, kerana ia masih dikepung.
Penduduk Gaza juga menghadapi masalah kekurangan ubat-ubatan, penyakit berjangkit, dan ketiadaan bekalan air dan elektrik dek serangan Israel. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg