Topik diikuti
Pergi ke BHkuPuteri sulung Raja Thailand meninggal dunia selepas hampir empat tahun koma
Puteri sulung Raja Thailand meninggal dunia selepas hampir empat tahun koma
Puteri sulung Raja Thailand meninggal dunia selepas hampir empat tahun koma
BANGKOK: Puteri Thailand, Bajrakitiyabha Narendira Debyavati, anak sulung kepada Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn, meninggal dunia pada usia 47 tahun selepas hampir empat tahun koma akibat pelbagai masalah kesihatan.
Istana Diraja Thailand dalam satu kenyataan pada 12 Jun memaklumkan Puteri Bajrakitiyabha meninggal dunia pada 11 Jun selepas keadaan kesihatannya semakin merosot.
Menurut kenyataan itu, beliau mengalami jangkitan dalam abdomen, radang usus besar, tekanan darah rendah, gangguan degupan jantung serta masalah pembekuan darah.
Puteri Bajrakitiyabha, yang lebih dikenali sebagai Puteri Pa, dimasukkan ke hospital pada Disember 2022 selepas tiba-tiba tidak sedarkan diri ketika melawat wilayah Nakhon Ratchasima di timur laut Thailand.
Keadaan itu berpunca daripada masalah jantung sebelum beliau diterbangkan dengan helikopter ke Bangkok untuk menerima rawatan lanjut.
Sejak itu, beliau dilaporkan berada dalam keadaan koma dan menerima rawatan rapi berterusan.
Kematian puteri diraja itu mencetuskan kesedihan rakyat Thailand yang mengenali beliau sebagai tokoh aktif dalam kerja kemasyarakatan, sistem kehakiman dan diplomasi antarabangsa.
Puteri Bajrakitiyabha dilahirkan pada 7 Disember 1978 hasil perkahwinan Raja Vajiralongkorn, yang ketika itu putera mahkota Thailand, bersama isteri pertamanya, Soamsawali Kitiyakara.
Beliau mendapat pendidikan dalam bidang undang-undang di Universiti Cornell di Amerika Syarikat sehingga memperoleh ijazah sarjana dan doktor falsafah.
Antara 2006 hingga 2011, beliau berkhidmat sebagai peguam di Pejabat Peguam Negara Thailand sebelum dilantik sebagai duta Thailand ke Austria, Slovenia dan Slovakia dari 2012 hingga 2014.
Selepas tamat tugas diplomatik, beliau kembali berkhidmat di Bangkok dan aktif memperjuangkan hak wanita, khususnya banduan wanita serta ibu mengandung di penjara.
Beliau turut menubuhkan badan kebajikan yang memberi tumpuan kepada kebajikan tahanan wanita dan peluang pemulihan sosial.
Pada 2017, Puteri Bajrakitiyabha dilantik sebagai duta muhibah bagi kedaulatan undang-undang di Asia Tenggara oleh Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Pencegahan Jenayah dan Keadilan Jenayah.
Pada 2021 pula, beliau menyertai tentera Thailand dan dianugerahkan pangkat jeneral sebelum berkhidmat sebagai ketua staf dalam Komand Keselamatan Diraja.
Puteri Bajrakitiyabha juga antara tiga anak Raja Vajiralongkorn yang mempunyai gelaran rasmi diraja dan layak berada dalam susunan pewarisan takhta mengikut perlembagaan Thailand.
Penganalisis melihat kemangkatan baginda sebagai kehilangan besar kepada institusi diraja Thailand memandangkan peranan aktifnya dalam kehidupan awam dan diplomasi negara.
Istana diraja dijangka mengadakan upacara penghormatan terakhir mengikut adat diraja Thailand, manakala pemerintah dijangka mengisytiharkan tempoh berkabung negara. - Agensi berita
