MOSCOW: Kremlin mengesahkan bahawa Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, akan berbincang dengan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, melalui telefon pada 18 Mac.
Encik Trump telah berkata sebelum ini bahawa beliau sememangnya merancang untuk bercakap dengan Encik Putin dan membincangkan soal menamatkan perang di Ukraine selepas apa yang dikatakannya sebagai perbincangan positif antara Encik Steve Witkoff, utusan khasnya, dengan Encik Putin di Moscow.
Ditanya mengenai panggilan yang dirancang itu, jurucakap Kremlin, Encik Dmitry Peskov, berkata: “Ya, begitulah keadaannya. Perbualan seperti itu telah dirancang berlangsung pada 18 Mac.”
Encik Trump berkata banyak kerja telah dilakukan pada hujung minggu dan beliau fikir Washington mempunyai peluang yang sangat baik untuk menamatkan perang Ukraine.
Menurutnya, beliau akan berbincang dengan Encik Putin mengenai soal wilayah dan “loji kuasa” tetapi tidak memberikan butiran.
Namun, Encik Trump berkemungkinan besar merujuk kepada loji nuklear Zaporizhzhia yang diduduki Russia di Ukraine.
Encik Trump berkata: “Saya fikir kededua pihak telah membincangkan banyak perkara... kita sudah bercakap mengenainya, membahagikan aset tertentu.”
Apabila ditanya mengenai kenyataan Encik Trump, Kremlin berkata ia tidak fikir sesuai untuk mengulas mengenai perbincangan akan datang antara dua presiden itu.
Pegawai Amerika dan Russia telah terlibat dalam perbincangan mengenai Ukraine sejak beberapa minggu kebelakangan ini dengan perbincangan dipertingkat selepas Washington dan Kyiv bersetuju dengan cadangan untuk gencatan senjata selama 30 hari serta-merta pada minggu lalu.
Namun begitu, Encik Putin pada dasarnya menolak rancangan itu, sebaliknya menggariskan beberapa syarat termasuk penghentian persenjataan semula dan pengerahan tentera Ukraine, serta penggantungan bantuan tentera Barat kepada Kyiv semasa gencatan senjata selama 30 hari.
Beliau juga memperbaharui panggilan untuk rundingan yang lebih luas mengenai penyelesaian jangka panjang peperangan itu.
Ukraine, yang telah bersetuju dengan gencatan senjata, bagaimanapun menuduh Encik Putin cuba melanjutkan perang.
Presidennya, Encik Volodymyr Zelenskyy, juga secara konsisten berkata kedaulatan negaranya tidak boleh dirunding dan Russia mesti menyerahkan wilayah yang telah dirampasnya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg