JEDDAH: Amerika Syarikat bersetuju pada 11 Mac untuk menyambung semula bantuan ketenteraan dan perkongsian risikan dengan Ukraine selepas rundingan yang menyaksikan Kyiv menerima cadangan Amerika untuk gencatan senjata selama 30 hari dalam konfliknya dengan Russia.
Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, berkata negaranya akan mengajukan tawaran itu kepada Russia dan menantikan persetujuan Moscow.
“Presiden Donald Trump mahu perang ini berakhir...
“Jadi harapan kami ialah Russia akan menjawab ‘ya’ secepat mungkin supaya kami boleh sampai ke fasa kedua iaitu rundingan sebenar,” kata Encik Rubio kepada pemberita selepas lebih lapan jam perbincangan di Jeddah.
Kremlin melancarkan pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine pada 2022 dan ia kini menguasai kira-kira satu perlima wilayah Ukraine, termasuk Crimea, yang telah ditawannya pada 2014.
Encik Rubio berkata Washington mahukan perjanjian penuh dengan Russia dan Ukraine “secepat mungkin”.
“Setiap hari yang berlalu, perang ini berterusan, orang mati, orang dibom, orang cedera di kedua-dua belah konflik,” katanya.
Namun, sukar dipastikan bagaimana Moscow akan bertindak balas terhadap cadangan gencatan senjata oleh Amerika itu.
Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, berkata beliau terbuka untuk membincangkan perjanjian damai.
namun, beliau menolak konsesi wilayah dan berkata Ukraine mesti berundur sepenuhnya dari empat wilayah yang dituntutnya dan sebahagiannya dikawal oleh Russia.
Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, yang berada di Arab Saudi tetapi tidak menyertai rundingan itu berkata, gencatan senjata itu adalah “cadangan yang positif”.
Di Arab Saudi, Amerika dan Ukraine turut berkata mereka bersetuju memuktamadkan secepat mungkin perjanjian menyeluruh untuk membangunkan sumber mineral kritikal Ukraine, perjanjian yang telah diusahakan berminggu-minggu tetapi menemui jalan buntu selepas perbalahan berlaku antara Encik Trump dengan Encik Zelensky di Rumah Putih awal sebelum ini.
Seorang pembantu utama kepada Encik Zelensky berkata pilihan untuk jaminan keselamatan bagi Ukraine turut telah dibincangkan dengan pegawai Amerika.
Jaminan keselamatan menjadi salah satu matlamat utama Kyiv, dan beberapa negara Eropah telah menyatakan kesediaan untuk menghantar pasukan pengaman.
Ukraine mengulangi pendiriannya bahawa rakan kongsi Eropah harus terlibat dalam proses damai.
Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), Encik Mark Rutte, akan berada di Rumah Putih pada 13 Mac untuk membincangkan isu tersebut. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg