Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Putin sokong gencatan senjata Ukraine, perlu teliti perjanjian

Mar 14, 2025 | 4:38 PM
Presiden Russia, Encik Vladimir Putin berkata pada dasarnya Moscow menyokong cadangan gencatan senjata oleh Amerika Syarikat tetapi ia perlu terlebih dahulu meneliti butiran perjanjian.
Presiden Russia, Encik Vladimir Putin berkata pada dasarnya Moscow menyokong cadangan gencatan senjata oleh Amerika Syarikat tetapi ia perlu terlebih dahulu meneliti butiran perjanjian. - Foto EPA-EFE

MOSCOW: Presiden Vladimir Putin berkata pada 13 Mac bahawa Russia pada dasarnya menyokong cadangan Amerika Syarikat untuk gencatan senjata di Ukraine, tetapi sebarang perjanjian perlu menangani punca konflik dan banyak butiran pentingnya diselesaikan terlebih dahulu.

Pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada Februari 2022 telah menyebabkan ratusan ribu maut dan cedera, berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal, bandar menjadi runtuhan dan mencetuskan konfrontasi paling tegang antara Moscow dengan Barat dalam beberapa dekad.

Sokongan kuat Encik Putin terhadap cadangan gencatan senjata Amerika kelihatan diberikan untuk memberi isyarat muhibah kepada Washington dan membuka pintu kepada perbincangan lanjut dengan Presiden Amerika, Encik Donald Trump.

Tetapi banyaknya penjelasan dan syarat yang Encik Putin sebutkan nampaknya menolak pelaksanaan segera gencatan senjata.

“Kami bersetuju dengan cadangan untuk menghentikan permusuhan,” kata Encik Putin kepada pemberita dalam sidang akhbar di Kremlin selepas perbincangan dengan Presiden Belarus, Encik Alexander Lukashenko.

“Idea itu sendiri adalah betul dan kami pasti menyokongnya.

“Tetapi kami meneruskan berdasarkan fakta bahawa pemberhentian ini harus sedemikian rupa sehingga ia akan membawa kepada keamanan jangka panjang dan akan menghapuskan punca asal krisis ini,” tegas beliau.

Beliau kemudiannya menyenaraikan beberapa isu yang menurutnya perlu dijelaskan dan berterima kasih kepada Presiden Trump, yang menyatakan beliau mahu dikenang sebagai pendamai, atas usahanya untuk menamatkan perang proksi maut yang boleh memuncak kepada Perang Dunia Ketiga.

Encik Trump, yang berkata beliau sedia bercakap dengan pemimpin Rusia melalui telefon, menyifatkan kenyataan Encik Putin “sangat menjanjikan” dan berharap Moscow akan “melakukan perkara yang betul”.

Utusan khasnya, Encik Steve Witkoff, kini terlibat dalam perbincangan serius dengan Russia di Moscow mengenai cadangan Amerika yang telah Kyiv persetujui.

Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky berkata Encik Putin sedang membuat persiapan untuk menolak cadangan gencatan senjata tetapi takut untuk memberitahu Encik Trump.

“Itulah sebabnya di Moscow mereka mengenakan pelbagai syarat agar tiada apa-apa yang berlaku sama sekali, atau supaya ia tidak boleh berlaku selama mungkin,” kata Encik Zelensky dalam ucapan video setiap malamnya.

Sebarang kelewatan akan memberi Russia lebih banyak masa untuk tenteranya mengusir tentera terakhir Ukraine keluar daripada barat Russia, ketika Moscow tetap dengan pendirian bahawa Kyiv menyerahkan wilayah yang dituntutnya secara kekal, satu kedudukan yang ditolak Ukraine. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg