KYIV: Ukraine telah meluncurkan Sistem Peluru Berpandu Taktikal Tentera Darat (ATACMS) buatan Amerika Syarikat untuk menyerang wilayah Russia pada 19 November, ekoran kebenaran yang baru diberikan oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, dalam perang yang masuk hari ke-1,000.
Russia berkata tenteranya menembak jatuh lima daripada enam peluru berpandu yang disasarkan terhadap kemudahan tentera di wilayah Bryansk.
Serpihan peluru yang melanda kemudahan itu, mencetuskan kebakaran yang pantas dipadamkan dan tidak menyebabkan kemalangan jiwa atau kerosakan, katanya.
Ukraine berkata ia menyerang depoh senjata Russia kira-kira 110 kilometer di dalam Russia, namun ia tidak menyatakan secara terbuka senjata yang digunakan.
Namun, sumber pemerintah Ukraine dan pegawai Amerika mengesahkan ia telah menggunakan ATACMS.
Seorang pegawai Amerika berkata Russia telah memintas dua daripada lapan peluru berpandu Ukraine itu.
Presiden Biden memberi kelulusan untuk Ukraine menggunakan ATACMS, peluru berpandu jarak jauh yang dibekalkan Washington, untuk serangan ke dalam wilayah Russia.
Menteri Luar Russia Encik Sergei Lavrov, berkata penggunaan ATACMS adalah isyarat jelas Barat mahu meningkatkan konflik.
Moscow berkata senjata sedemikian tidak boleh dilancarkan tanpa sokongan operasi Amerika secara langsung dan penggunaannya akan menjadikan Washington sebagai bertindak langsung dalam perang, menyebabkan Russia bertindak balas.
Serangan itu berlaku ketika Ukraine menandakan perang masuk hari ke-1,000, dengan seperlima wilayahnya di tangan Russia dan keraguan tentang masa depan sokongan Barat ketika Presiden Encik Donald Trump bakal kembali ke Rumah Putih.
Kementerian Pertahanan Russia juga berkata unit pertahanan udara telah memusnahkan 42 dron Ukraine di sekurang-kurangnya lapan wilayah selatan dan tengah pada malam 19 November.
Ukraine telah lama menggunakan dron untuk mencapai sasaran jauh di dalam wilayah Russia, termasuk lapangan terbang dan tapak yang berkaitan dengan bekalan tenaga.
Di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Duta Besar Ukraine, Encik Sergiy Kyslytsya, membaca kenyataan dari negaranya dan 42 yang lain serta Kesatuan Eropah, menolak “cubaan pencerobohan haram” Russia ke atas wilayah Ukraine dan menuntut penarikan balik segera.
Pada 19 November, Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, menandatangani doktrin nuklear baru yang kelihatan bertujuan sebagai amaran kepada Washington.
Pentagon berkata Jabatan Negara Amerika telah meluluskan satu lagi potensi penjualan peralatan dan perkhidmatan ketenteraan bernilai AS$100 juta kepada Ukraine.
Sementara itu, Denmark berkata ia memberi sumbangan kira-kira AS$138 juta untuk pembangunan industri senjata Ukraine. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg