Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Putin biar militia Wagner berontak seketika ‘demi elak tumpah darah’

Jun 27, 2023 | 3:03 PM
KENYATAAN PRESIDEN: Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, menjelaskan tindakannya membiarkan militia Wagner melakukan pemberontakan buat seketika sebelum tindakan tegas diambil demi mengelak pertumpahan darah, dalam ucapan kepada rakyat, yang disiarkan di televisyen di Moscow, Russia, Sabtu lalu.
KENYATAAN PRESIDEN: Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, menjelaskan tindakannya membiarkan militia Wagner melakukan pemberontakan buat seketika sebelum tindakan tegas diambil demi mengelak pertumpahan darah, dalam ucapan kepada rakyat, yang disiarkan di televisyen di Moscow, Russia, Sabtu lalu. - Foto EPA-EFE

MOSCOW: Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, menyatakan tindakannya sengaja membiarkan militia Wagner melakukan pemberontakan berterusan selama 24 jam pada Sabtu adalah demi mengelakkan pertumpahan darah dan mengukuhkan perpaduan negara.

Dalam ucapannya yang disiarkan di televisyen pada petang Isnin, Encik Putin memberi amaran sedia memusnahkan pemberontakan, yang disifatkan ramai pemimpin Barat sebagai mendedahkan kelemahan Encik Putin sejak menyerang Ukraine 16 bulan lalu.

Pejuang Wagner, yang diketuai oleh Encik Yevgeny Prigozhin, berjaya menguasai bandar Rostov-on-Don di selatan Russia, yang merupakan pusat pemerintah tentera Moscow yang mengemudi kempen perang di Ukraine itu.

Kumpulan militia itu malah berjaya dikerahkan sehingga berada pada jarak 200 kilometer dari Moscow.

“Sejak awal kejadian, langkah telah diambil atas arahan saya untuk mengelakkan pertumpahan darah yang serius,” kata Encik Putin.

“Masa diperlukan, antara lain, untuk memberi peluang kepada mereka yang telah melakukan kesilapan untuk menyedari bahawa tindakan mereka ditolak dengan tegas oleh masyarakat, dan perjuangan mereka itu menyebabkan akibat yang tragik dan memusnahkan kepada Russia dan negara kita.”

Encik Putin tidak menyebut tentang Encik Prigozhin, yang telah menuntut Menteri Pertahanan, Encik Sergei Shoigu dan Ketua Staf Am, Encik Valery Gerasimov, untuk ke Rostov dan bertemunya. Encik Prigozhin meminta kedua-dua mereka dipecat.

Encik Putin juga tidak menyebut sebarang perancangan untuk perubahan kakitangan di Kementerian Pertahanan, walaupun sekitar 11 malam waktu Moscow (4 pagi Selasa di Singapura) beliau dilihat di televisyen sedang berucap dalam satu mesyuarat bersama ketua-ketua jabatan keselamatannya, termasuk Encik Shoigu.

Encik Prigozhin berkata, pejuangnya terpaksa menembak jatuh helikopter yang menyerang mereka ketika mara ke arah Moscow. Encik Putin telah merujuk kepada beberapa pertumpahan darah, tetapi menyalahkan Wagner.

“Penganjur pemberontakan, setelah mengkhianati negara mereka, rakyat mereka, juga mengkhianati mereka yang terjerumus ke dalam jenayah itu. Mereka berbohong sesama mereka, mereka bergerak sesama mereka ke arah kematian: dalam pertempuran, (mereka) menembak sesama sendiri.”

Encik Putin mengucapkan terima kasih kepada pejuang dan panglima Wagner yang telah berhenti daripada pemberontakan untuk mengelakkan “pertumpahan darah antara saudara”, dan berkata sebahagian besar anggota Wagner adalah patriot. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg