Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Putin hadiri Forum ‘Belt and Road’ di China

Oct 17, 2023 | 1:57 PM
LAWATAN PERTAMA: Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, tiba di Beijing pada Selasa untuk menghadiri forum Inisiatif Belt and Road (BRI)  dalam lawatan pertamanya ke sebuah kuasa besar global sejak pencerobohan di Ukraine menyebabkan rejimnya terpencil dari komuniti antarabangsa.
LAWATAN PERTAMA: Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, tiba di Beijing pada Selasa untuk menghadiri forum Inisiatif Belt and Road (BRI)  dalam lawatan pertamanya ke sebuah kuasa besar global sejak pencerobohan di Ukraine menyebabkan rejimnya terpencil dari komuniti antarabangsa. - Foto AFP

BEIJING: China menjadi tuan rumah bagi perwakilan 130 negara untuk forum mengenai Inisiatif Belt and Road (BRI) yang dibayangi oleh perang Israel-Gaza, dan konflik yang berterusan di Ukraine.

Senarai teratas tetamu forum itu ialah Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, dalam lawatan pertamanya ke sebuah kuasa besar global sejak pencerobohan Ukraine mengakibatkan rejimnya menghadapi pengasingan antarabangsa, sehingga Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran penahanan ke atasnya.

Pejabat Presiden Russia (Kremlin) mengumumkan bahawa Encik Putin akan mengadakan lawatan rasmi ke China dari 17 hingga 18 Oktober. Beliau dijangka mengadakan pertemuan dengan Presiden Xi Jinping untuk berbincang mengenai perkongsian komprehensif dan kerjasama strategik Russia-China, selain isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Para pemimpin mula tiba di Beijing pada Isnin untuk acara yang mempamerkan jangkauan global BRI – projek istimewa Presiden Xi.

Walaupun China berharap forum itu akan membantu meningkatkan kedudukannya sebagai kuasa global terkemuka, pengeboman berterusan Israel ke atas Semenanjung Gaza ke atas militan Hamas berkemungkinan besar akan mendominasi tajuk berita.

Sebilangan pemimpin telah pun tiba di Beijing menjelang forum dua hari itu, yang bermula pada Selasa.

Antaranya ialah Perdana Menteri Hungary, Encik Viktor Orban; Presiden Chile, Encik Gabriel Boric; Presiden Kenya, Encik William Ruto; dan Perdana Menteri Habsyah, Encik Abiy Ahmed.

Pada Isnin, diplomat tertinggi Russia, Encik Sergey Lavrov, terbang ke Beijing dan dalam beberapa jam mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar China, Encik Wang Yi. Encik Putin tiba pada Selasa.

Tahun 2023 ini, perdagangan antara China dan Russia telah melonjak ke tahap yang tidak pernah dilihat sejak permulaan perang Moscow di Ukraine, dengan import China bagi minyak Russia memberi nafas kepada Moscow yang kritikal apabila sekatan antarabangsa menggigit.

China telah meletakkan dirinya sebagai pihak yang berkecuali, mengemukakan pelan damai 12 perkara, tetapi ia juga enggan mengutuk perang dan telah menawarkan Moscow sokongan diplomatik dan kewangan yang penting.

Hubungan antara Encik Xi dan Encik Putin semakin rapat, dan mereka menyifatkan satu sama lain sebagai “teman akrab”.

Dalam satu wawancara dengan penyiar rasmi China, CGTN, menjelang lawatannya itu, Encik Putin memuji hubungan dengan Beijing dan “faedah bersama” BRI.

“Presiden Putin menegaskan bahawa dunia berbilang polar sedang terbentuk, dan konsep serta inisiatif yang dikemukakan oleh Presiden Xi adalah sangat relevan dan penting,” lapor CGTN. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg