Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Putin ingatkan Ukraine runding atau hadapi kekerasan untuk akhiri perang

Sep 4, 2025 | 2:18 PM
Presiden Russia, Encik Vladimir Putin
Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, berkata Ukraine perlu membatalkan undang-undang tentera, mengadakan pilihan raya seiring referendum mengenai persoalan wilayah jika perjanjian damai ingin dicapai. - Foto REUTERS

MOSCOW: Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, memberitahu Kyiv bahawa terdapat peluang untuk menamatkan perang di Ukraine melalui rundingan – satu pilihan yang beliau lebih suka – atau secara paksa jika itu satu-satunya cara.

Bercakap di China pada penghujung lawatan ke sana, Encik Putin berkata beliau berasa ada peluang penyelesaian susulan usaha ikhlas Amerika Syarikat untuk mencari penyelesaian kepada perang darat terbesar di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

“Jika digunakan akal fikiran, saya mungkin bersetuju dengan penyelesaian yang boleh diterima untuk menamatkan konflik ini. Itu adalah andaian saya.

“Lebih-lebih lagi kerana kita dapat melihat usaha pentadbiran di bawah Presiden Trump, dan kita melihat bukan sahaja kenyataan mereka, bahkan keinginan ikhlas mereka untuk mencari penyelesaian ini.

“Mari kita lihat bagaimana keadaan itu berkembang. Jika tidak, kita perlu menyelesaikan semua tindakan dengan kekerasan senjata,” katanya kepada pemberita di Beijing pada 3 September.

Namun, Encik Putin tidak menunjukkan sebarang kesanggupan untuk melunakkan tuntutannya yang telah lama wujud supaya Ukraine meninggalkan sebarang idea untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Tuntutan itu juga termasuk agar tidak berlaku sebarang diskriminasi terhadap penutur dan kaum Russia.

Di samping itu, Moscow mesti mempunyai kawalan penuh ke atas sekurang-kurangnya kawasan Donbas di timur Ukraine.

Encik Putin berkata beliau bersedia mengadakan rundingan dengan Encik Volodymyr Zelensky jika presiden Ukraine itu datang ke Moscow, tetapi ia masih perlu dilihat sama ada pertemuan sedemikian berbaloi atau sebaliknya.

Beliau mengulangi pandangannya bahawa Encik Zelensky, yang tidak menghadapi pemilihan semula jawatan presiden kerana pelaksanaan undang-undang tentera walaupun tempoh rasminya sudah tamat, adalah tidak sah.

Kyiv menolak pandangannya itu dengan menyatakan adalah mustahil mengadakan pilihan raya pada masa perang.

Encik Zelensky yang sebelum ini telah mendesak mahu bertemu Encik Putin untuk membincangkan syarat perjanjian meskipun kedua-dua pihak kekal berjauhan, menggesa Washington supaya mengenakan sekatan ke atas Moscow sekali lagi jika Encik Putin tidak bersetuju.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump – yang cuba menjadi perantara penyelesaian damai – turut berkata beliau mahu kedua-dua pemimpin itu bertemu tetapi belum lagi mengenakan sekatan kedua ke atas Russia. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg