MOSCOW: Presiden Donald Trump dan Presiden Vladimir Putin bersetuju untuk menghentikan serangan Russia terhadap prasarana tenaga Ukraine tetapi gagal mencapai gencatan senjata penuh dalam panggilan telefon pada 18 Mac.
Pemimpin Amerika Syarikat dan Russia itu bercakap selama lebih satu setengah jam dan kedua-duanya melahirkan harapan untuk membaiki hubungan antara negara.
Bagaimanapun, tiada persetujuan daripada Encik Putin untuk gencatan senjata penuh selama 30 hari yang dicadangkan Washington dalam pencerobohan Russia ke atas jirannya yang pro-Barat.
Kremlin berkata Encik Putin bersetuju untuk menghentikan serangan ke atas sasaran tenaga Ukraine selama 30 hari dan sejajar dengan itu, beliau telah pun memberi arahan kepada tenteranya.
Rumah Putih berkata secara berasingan bahawa “kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa pergerakan ke arah keamanan akan bermula dengan gencatan senjata tenaga dan prasarana”.
Russia telah melancarkan beberapa siri serangan dahsyat ke atas prasarana tenaga Ukraine sepanjang perang tiga tahun itu.
Menurut kenyataan Kremlin, Ukraine – yang telah mengebom beberapa loji minyak Russia – juga telah bersetuju dengan gencatan senjata mengenai sasaran kemudahan tenaga walaupun Kyiv masih belum mengulas.
Kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa rundingan gencatan senjata yang lebih luas akan “dimulakan serta-merta di Timur Tengah”, kata Rumah Putih dalam kenyataannya, yang turut memetik “peningkatan besar” jika Russia dan Amerika memperbaiki hubungan mereka.
Namun, Kremlin berkata “syarat utama” keamanan ialah menamatkan sokongan ketenteraan dan perisikan Barat kepada tentera Ukraine – sesuatu yang membimbangkan Kyiv dan Eropah.
Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, berkata pada 18 Mac bahawa Ukraine bersetuju dengan gencatan senjata yang dicadangkan Amerika mengenai serangan terhadap prasarana tenaganya tetapi memerlukan lebih banyak “perincian” daripada Washington terlebih dahulu.
Bercakap selepas panggilan antara Encik Trump dengan Encik Putin, Encik Zelensky juga memberi amaran bahawa Encik Putin mahu “melemahkan” Ukraine dan “tidak bersedia untuk menamatkan perang”.
“Selepas kami mendapat butiran daripada Presiden Trump, kami akan memberikan jawapan kami,” katanya kepada pemberita.
“Pihak kami akan mengekalkannya” selagi Moscow mematuhinya, katanya, sambil menambah bahawa Amerika harus menjadi “penjamin kawalan ke atas pelaksanaannya”.
“Saya fikir adalah lebih baik jika kami dapat mengadakan perbincangan dengan Presiden Trump dan mengetahui butiran tentang apa yang Russia tawarkan kepada Amerika atau apa yang Amerika tawarkan kepada Russia,” kata Encik Zelensky. – Reuters, AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg