Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Russia bentang tuntutan untuk runding dengan AS mengenai Ukraine

Mar 13, 2025 | 12:11 PM
Presiden Russia Encik Vladimir Putin melawat ibu pejabat angkatan tentera di Wilayah Kursk, Russia, pada 12 Mac 2025.
Presiden Russia Encik Vladimir Putin melawat ibu pejabat angkatan tentera di Wilayah Kursk, Russia, pada 12 Mac 2025. - Foto: EPA-EFE

NEW YORK/WASHINGTON: Russia telah membentangkan kepada Amerika Syarikat senarai tuntutan bagi perjanjian untuk menamatkan perangnya terhadap Ukraine dan menetapkan semula hubungan dengan Washington, menurut dua sumber yang mengetahui perkara itu.

Tidak jelas apa sebenarnya yang disertakan oleh Moscow dalam senarai tuntutannya atau sama ada ia bersedia untuk mengadakan rundingan damai dengan Kyiv sebelum menerimanya.

Pegawai Russia dan Amerika membincangkan terma semasa perbualan secara peribadi dan maya sejak tiga minggu lalu, kata sumber itu.

Mereka menyifatkan syarat Kremlin sebagai luas dan serupa dengan tuntutan yang pernah dikemukakannya kepada Ukraine, Amerika dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) sebelum ini.

Terma awal itu termasuk tiada keanggotaan Nato untuk Kyiv, tidak mengerahkan tentera asing di Ukraine dan pengiktirafan antarabangsa terhadap dakwaan Presiden Russia Encik Vladimir Putin bahawa Crimea dan empat wilayah adalah milik Russia.

Moscow dalam beberapa tahun kebelakangan ini, juga telah menuntut Amerika dan Nato menangani apa yang dipanggil “punca utama” perang, termasuk peluasan Nato ke arah timur.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, sedang menunggu respons daripada Encik Putin sama ada beliau bersetuju dengan gencatan senjata selama 30 hari itu.

Presiden Ukraine Encik Volodymyr Zelenskiy pada 11 Mac menyatakan pihaknya menerima gencatan senjata itu sebagai langkah pertama ke arah rundingan damai.

Komitmen Encik Putin terhadap perjanjian gencatan senjata yang berpotensi itu masih tidak pasti kerana butiran masih belum dimuktamadkan.

Beberapa pegawai Amerika, penggubal undang-undang dan pakar bimbang Encik Putin, akan menggunakan gencatan senjata untuk memperhebat apa yang mereka katakan sebagai usaha untuk memecahbelahkan Amerika, Ukraine dan Eropah dan menjejaskan sebarang perbincangan.

Kedutaan Russia di Washington dan Rumah Putih tidak segera menjawab permintaan untuk komen.

Di Kyiv, Encik Zelensky menyifatkan poertemuan minggu ini di Arab Saudi antara pegawai Amerika dengan Ukraine sebagai membina, dan berkata potensi gencatan senjata 30 hari dengan Russia boleh digunakan untuk merangka perjanjian damai yang lebih luas.

Moscow telah membangkitkan banyak tuntutan yang sama sejak dua dekad yang lalu, ada yang berakhir dengan rundingan rasmi melibatkan Amerika dan Eropah.

Terbaru, Moscow membincangkannya dengan pentadbiran Presiden Joe Biden dalam beberapa siri mesyuarat pada akhir 2021 dan awal 2022 ketika puluhan ribu tentera Russia berada di sempadan Ukraine, menunggu arahan untuk menyerang.

Ia termasuk tuntutan yang akan mengekang operasi ketenteraan Amerika dan Nato dari Eropah Timur ke Asia Tengah.

Sambil menolak beberapa syarat, pentadbiran Encik Biden berusaha untuk menghalang pencerobohan dengan melibatkan diri dengan Russia mengenai beberapa tuntutannya.

Namun, usaha itu gagal dan Russia menyerang Ukraine pada 24 Feb 2022. - Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg