Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Putin tiba di Vietnam untuk lawatan negara

Jun 20, 2024 | 11:55 AM
Vladimir Putin
Presiden Russia, Encik Vladimir Putin (tengah), tiba di lapangan terbang antarabangsa Noi Bai, Hanoi, pada 20 Jun selepas melawat Korea Utara sehari sebelumnya. - Foto EPA-EFE

HANOI: Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, tiba di Vietnam pada 20 Jun untuk berbincang dengan pemimpin negara komunis itu sempena perhentian terakhir lawatan dua negaranya ke Asia selepas memuktamadkan pakatan pertahanan dengan Korea Utara.

Pesawat yang dinaiki Encik Putin mendarat di lapangan terbang Hanoi, dan beliau disambut dengan hamparan permaidani merah oleh Timbalan Perdana Menteri Vietnam, Encik Tran Hong Ha, dan diplomat tertinggi parti, Encik Le Hoai Trung.

Dalam sebuah rencana pendapat yang diterbitkan sempena lawatannya, Encik Putin dipetik sebagai memuji negara yang diperintah oleh parti komunis Asia Tenggara itu, kerana menyokong “cara pragmatik untuk menyelesaikan krisis” di Ukraine.

Vietnam, yang secara rasmi melaksanakan dasar luar berkecuali yang dipanggil ‘diplomasi buluh’ dalam hubungannya dengan kuasa dunia, telah mengelak daripada mengutuk serangan Russia ke atas Ukraine, pendirian yang dilihat negara Barat sebagai terlalu dekat dengan Kremlin.

Selain memuji Vietnam kerana pendiriannya yang “seimbang” terhadap perang Ukraine, Encik Putin menyenaraikan kemajuan mengenai pembayaran, tenaga dan perdagangan antara negara dalam artikel yang diterbitkan akhbar Parti Komunis Vietnam, Nhan Dan.

Walaupun kedua-dua Korea Utara dan Russia menghadapi pengasingan antarabangsa, Vietnam telah membina pakatan berhati-hati dengan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU).

“Lawatan Presiden Putin ke Korea Utara dan Vietnam adalah untuk menunjukkan bahawa percubaan Barat untuk mengasingkan Russia tidak berhasil, dan Russia mempunyai rakan kongsi di Asia,” kata Encik Carl Thayer, pakar keselamatan Vietnam di Akademi Angkatan Pertahanan Australia, di Canberra.

Vietnam adalah negara ketiga di Asia yang pernah dilawati Presiden Putin, selepas China dan Korea Utara, sejak beliau mengangkat sumpah untuk penggal kelima pada Mei. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg