WASHINGTON/ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dan rakan sejawatannya dari Russia, Encik Vladimir Putin, tidak akan menghadiri rundingan damai pertama antara Moscow dengan Kyiv pada 15 Mei.
Sebaliknya, Kremlin menghantar sekumpulan teknokrat berpengalaman.
Encik Putin pada 11 Mei mencadangkan rundingan terus dengan Ukraine di Istanbul pada 15 Mei “tanpa sebarang prasyarat”.
Namun pada lewat 14 Mei, Kremlin berkata delegasi itu akan termasuk Penasihat Presiden, Encik Vladimir Medinsky, dan Timbalan Menteri Pertahanan, Encik Alexander Fomin.
Selepas pengumuman delegasi Kremlin, seorang pegawai Amerika pula berkata Encik Trump tidak akan hadir – beberapa hari selepas menyatakan beliau sedang mempertimbangkan penyertaannya.
Walaupun Encik Putin tidak pernah mengesahkan beliau akan hadir secara peribadi, ketiadaan Presiden Russia dan Amerika dijangka mengurangkan jangkaan besar ke atas huraian dalam perang yang dimulakan Russia pada Februari 2022 itu.
Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, telah mencabar pemimpin Kremlin supaya menghadiri rundingan “jika beliau tidak gentar,” dalam penentangan yang jelas untuk menunjukkan Encik Trump lebih mahukan keamanan.
Encik Zelensky sedang dalam perjalanan ke Turkey, kata seorang pegawai Ukraine.
Terdahulu, pemimpin Kyiv itu berkata beliau akan menyertai rundingan tersebut hanya jika Encik Putin berada di sana.
Encik Trump mahu kedua-dua pihak menandatangani gencatan senjata selama 30 hari untuk menghentikan perang darat terbesar di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.
Seorang penggubal undang-undang Russia berkata pada 14 Mei, mungkin terdapat perbincangan mengenai pertukaran tawanan perang yang besar.
Encik Zelensky menyokong gencatan senjata 30 hari serta-merta, tetapi Encik Putin berkata beliau mahu butiran gencatan senjata itu dibincangkan.
Encik Trump semakin kecewa terhadap sikap Russia dan Ukraine ketika beliau cuba memujuk kedua-dua negara berusaha mencapai penyelesaian damai.
Menurutnya, beliau “sentiasa mempertimbangkan” sekatan kedua terhadap Moscow jika beliau fikir ia menghalang proses itu.
Pegawai Amerika pernah menyatakan kemungkinan mengenakan sekatan kewangan dan terhadap pembelian minyak Russia.
Sumber diplomatik Ukraine menyatakan kepimpinan Ukraine akan memutuskan langkah seterusnya untuk rundingan damai di Turkey apabila terdapat kejelasan mengenai penyertaan Encik Putin.
Delegasi Amerika ke Turkey termasuk Setiausaha Negara, Encik Marco Rubio, dan Utusan Kanan, Encik Steve Witkoff, dan Encik Keith Kellogg.
Menteri Luar Ukraine,Encik Andrii Sybiha, berkata pada awal 15 Mei bahawa beliau telah bertemu dengan Encik Rubio untuk berkongsi visi keamanan Encik Zelensky. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg