LONDON: Pegawai dari Amerika Syarikat, Ukraine dan Eropah bertemu di London pada 23 April bagi membincangkan kemungkinan menamatkan perang Russia ke atas Ukraine.
Namun, peluang untuk mencapai sebarang kemajuan dilihat semakin tipis selepas kebanyakan menteri luar negara menarik diri daripada menghadiri mesyuarat, meskipun terdapat tekanan kuat daripada Amerika untuk memeterai perjanjian damai.
Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, telah membatalkan lawatannya ke London.
Mesyuarat yang sepatutnya turut disertai menteri luar Britain, Ukraine, Perancis dan Jerman akhirnya ditangguhkan.
Sumber diplomatik mengakui bahawa jangkaan untuk mencapai keputusan dalam masa terdekat adalah tidak realistik memandangkan jurang pendirian antara pihak-pihak masih sangat ketara.
Encik Rubio telah menghubungi Setiausaha Luar Britain, Encik David Lammy, lewat 22 April dan menyatakan harapannya untuk menjadualkan semula lawatan itu dalam beberapa bulan akan datang selepas “mesyuarat teknikal” pada 23 April.
Jurucakap Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, menyatakan bahawa keputusan akhir kini terletak pada Russia.
“Kami jelas menyokong usaha Presiden (Donald) Trump untuk membawa perdamaian dan menyambut baik gesaan Ukraine agar Russia komited kepada gencatan senjata sepenuhnya,” kata jurucakap tersebut.
Utusan khas Encik Trump, Encik Steve Witkoff, tidak hadir dalam rundingan London, namun menurut Rumah Putih, beliau dijadualkan bertemu Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, di Moscow akhir April sebagai sebahagian daripada usaha diplomatik Amerika yang berasingan.
Pertemuan di London ini merupakan lanjutan daripada sesi di Paris yang turut membabitkan perbincangan antara pegawai Amerika, Eropah dan Ukraine mengenai pelan damai.
Wakil Encik Trump ke Ukraine, Jeneral Keith Kellogg, tetap hadir di London untuk meneruskan perbincangan.
Diplomat Eropah memaklumkan objektif utama minggu lalu adalah untuk membentuk pendirian bersama antara Washington, Kyiv dan Eropah.
Namun, beberapa cadangan Amerika termasuk pengiktirafan terhadap penaklukan Crimea oleh Russia, dianggap sebagai sesuatu yang tidak boleh dirunding oleh Eropah dan Ukraine.
Di samping itu, permintaan Russia agar Kesatuan Eropah (EU) menarik balik sekatan sebelum rundingan dimuktamadkan turut ditolak tegas oleh negara-negara Eropah.
Menteri Luar Perancis, Encik Jean-Noel Barrot, menjelaskan bahawa Eropah telah menyampaikan kepada Amerika beberapa garis merah dalam potensi perjanjian damai yang tidak boleh dikompromi, sekali gus menolak sebarang harapan untuk penyelesaian minggu ini.
Salah satu cadangan Amerika yang lain adalah penubuhan zon berkecuali di loji nuklear Zaporizhzhia di wilayah pendudukan Russia.
Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelenskiy, menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Amerika bagi memulihkan operasi loji tersebut.
Beberapa cadangan Amerika juga dijangka tidak akan menyenangkan Moscow.
Menurut dua diplomat, Washington tidak menyokong tuntutan Russia supaya Ukraine dinyahmilitarisasi dan juga tidak menolak kehadiran pasukan Eropah sebagai sebahagian daripada jaminan keselamatan masa depan untuk Ukraine.
Sejak memegang jawatan pada Januari 2025, Encik Trump telah menggoncang dasar luar Amerika dengan menekan Ukraine untuk menerima gencatan senjata sambil melonggarkan banyak langkah hukuman terhadap Russia yang dilaksanakan semasa pentadbiran Joe Biden.
Encik Trump berulang kali menyatakan hasratnya untuk mencapai gencatan senjata menjelang Mei ini, dengan alasan bahawa konflik yang telah meragut puluhan ribu nyawa itu perlu dihentikan sebelum ia mencetuskan konfrontasi langsung antara Amerika dan Russia yang bersenjata nuklear.
Namun, Eropah semakin bimbang terhadap pendekatan pentadbiran Trump yang dilihat terlalu lunak terhadap Moscow — satu kerisauan yang semakin meningkat selepas kegagalan usaha Encik Trump setakat ini untuk mencapai gencatan senjata yang konkrit.
“Keamanan kekal jauh selagi Russia enggan menghentikan serangan dan dunia terus berkompromi dengan pendudukan haramnya,” kata seorang diplomat Eropah yang enggan dinamakan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg