OKLAHOMA (Amerika Syarikat): Selepas 78 kejadian puting beliung dilaporkan pada 26 April, kebanyakannya di Nebraska dan Iowa, sistem cuaca berasingan pada Sabtu melaporkan 35 kejadian puting beliung dari utara Texas dan Oklahoma ke Missouri, kata Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS).
Ribut itu menyebabkan hujan sehingga 18 sentimeter di beberapa tempat dalam masa beberapa jam, dan pakar meteorologi memberi amaran tentang bahaya berterusan cuaca ekstrem termasuk banjir kilat, hujan batu dan lebih banyak lagi puting beliung.
Sulphur, bandar di selatan-tengah Oklahoma, dilanda teruk pada lewat Sabtu, dengan video dan imej disiarkan di media sosial menunjukkan banyak bangunan musnah.
Sebuah trak pos berada dalam keadaan tidak menentu di tengah-tengah runtuhan bangunan dan pokok, seperti yang dilihat dalam rakaman video.
Pasukan penyelamat memeriksa dari rumah ke rumah dan kenderaan ke kenderaan untuk mencari mangsa yang terselamat.
Menurut Gabenor Oklahoma, Encik Kevin Stitt, yang bercakap pada 28 April dari bandar kecil yang terjejas teruk itu, empat orang disahkan meninggal dunia di seluruh negeri.
Kerosakan di Sulphur, menyaksikan seorang wanita maut apabila puting beliung melanda pada waktu malam.
Ia adalah yang paling buruk pernah dilihatnya dalam enam tahun memegang jawatan, katanya semasa sidang akhbar.
“Nampaknya setiap perniagaan di pusat bandar telah musnah,” katanya sambil menambah “mujur... tidak ramai orang di sini semasa kejadian (puting beliung) berlaku.”
Sekurang-kurangnya dua orang maut di bandar Holdenville di Oklahoma, kata Jabatan Pengurusan Kecemasan (OEM) negeri itu, dengan media tempatan melaporkan seorang bayi berusia empat bulan adalah antara mangsa. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg