Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ribut di Pantai Timur AS sebabkan banjir, bekalan elektrik terputus

Jan 11, 2024 | 2:51 PM
DILANDA RIBUT: Seorang penduduk memeriksa bumbung yang runtuh selepas ribut melanda kawasan Perdido Key berhampiran Pensacola, Florida, Amerika Syarikat, pada 10 Januari.
DILANDA RIBUT: Seorang penduduk memeriksa bumbung yang runtuh selepas ribut melanda kawasan Perdido Key berhampiran Pensacola, Florida, Amerika Syarikat, pada 10 Januari. - Foto REUTERS

OHIO: Pantai Timur Amerika Syarikat kekal di bawah ancaman cuaca mengancam ketika ribut musim sejuk yang kuat melanda di seluruh rantau itu, mengakibatkan bekalan elektrik terputus, penerbangan terhenti dan beberapa bandar mengalami banjir.

Lebih 50 juta orang dari timur Ohio hingga ke Mid-Atlantic dan ke Timur Laut, berada di bawah amaran angin kencang dan banjir, pada 10 Januari, kata Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS).

Perkembangan itu memaksa Gabenor Florida, Encik Ron DeSantis, mengisytiharkan darurat selepas berlaku beberapa siri puting beliung yang menyebabkan kerosakan besar di negeri berkenaan.

Banjir melanda beberapa bandar pantai New England termasuk Pantai Hampton, New Hampshire, seperti yang dapat disaksikan menerusi rakaman video yang disiarkan di media sosial.

Banjir melanda jalan-jalan raya, masuk ke rumah-rumah dan kawasan perniagaan.

Kenderaan ditenggelami, menyebabkan pegawai di bandar pantai yang mempunyai 2,500 orang itu, mengisytiharkan keadaan kecemasan dan mengarahkan penduduk supaya berpindah.

“Keadaan kecemasan telah diisytiharkan, ekoran air laut yang sangat tinggi dan banjir,” kata Jabatan Polis Hampton pada X.

“Jika anda tinggal di kawasan itu, kami sarankan anda meninggalkan kawasan itu buat sementara waktu, ke tempat yang lebih tinggi,” katanya dipetik agensi berita, Reuters.

Bandar utama seperti New York, Philadelphia dan Boston juga dijangka menyaksikan tiupan angin yang berpotensi merosakkan, dengan kelajuan lebih 80 kilometer sejam, yang boleh menumbangkan pokok dan tiang talian elektrik, kata NWS.

Kira-kira 300,000 rumah dan perniagaan dari North Carolina ke Maine terputus bekalan elektrik pada petang 10 Januari, lapor laman web, Poweroutage.us.

Ribut itu juga menyebabkan lebih 1,200 penerbangan ditangguhkan atau dibatalkan setakat petang 9 Januari, termasuk lebih 270 penerbangan masuk dan keluar dari Chicago, menurut laman web, Flightaware.com

Ribut itu telah menyebabkan sekurang-kurangnya tiga kematian di Alabama, Carolina Utara dan Georgia, di mana angin kencang dan beberapa puting beliung melanda bahagian Selatan, menurut pihak berkuasa dan laporan media tempatan.

Dua pemandu kenderaan turut terbunuh di Wisconsin dan Michigan, di mana salji tebal turun merentasi wilayah itu, menyebabkan keadaan memandu berbahaya, lapor media tempatan.

Ribut musim sejuk yang berasingan dijangka berterusan pada siang hari di Barat Laut Pasifik, di mana banyak masyarakat di kawasan lebih tinggi dijangka mengalami keadaan seperti ribut salji. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg